Pada 2 November 2014 telah diadakan perlawanan bola tampar antara pasukan NMC Lions menentang NMC Tigers bertempat di dewan serbaguna Noel Street. Perlawanan ini melibatkan pasukan lelaki dan wanita. Tepat jam 6.30 ptg para peserta bersama penyokong pasukan masing-masing telah berkumpul dihadapan dewan ini. Pada jam 6.45ptg dewan telah dibuka dan kedua-dua pasukan mengambil peluang untuk melakukan aksi pemanas badan. Perlawanan dimulakan dengan pasukan wanita NMC Lions menentang NMC Tigers. Kapten kedua-dua pasukan telah dipanggil untuk diberikan sedikit taklimat berkenaan dengan format dan syarat-syarat permainan. Perlawanan kali ini diadili oleh pengadil khas yang dijemput oleh NMC iaitu Dr Farid.
Perlawanan bagi peserta wanita bermula pada jam 7.20 ptg. Pasukan wanita NMC Tigers mendahului dengan 7-0 dan kemudian diikuti rapat oleh pasukan NMC Lions. Kedua-dua pasukan menunjukkan mutu permainan yang cantik dan sering bertukar2 servis. Penyokong pasukan masing-masing turut membantu memriahkan suasana permainan. Penyokong cilik turut serta dengan sorakan yang tersendiri. Akhirnya set pertama dimenangi oleh pasukan NMC Lions dengan keputusan 25-17. Pada set kedua pasukan NMC Lions pula mendahului dengan beberapa mata dan pada satu masa mendahului dengan 23-19. Namun begitu pasukan NMC Tigers kembali bangkit dan menang dengan keputusan 26-24. Perlawanan sengit ini diteruskan dengan perlawanan penentuan di set ketiga. Kedua-dua pasukan mempamerkan aksi -aksi yang medebarkan disamping sorakan daripada kedua-dua pasukan menggamatkan ruang dewan. Akhirnya kemenangan berpihak kepada pasukan NMC Tigers dengan keputusan 15-10. Program diteruskan dengan perlawanan pasukan lelaki. Perlawanan dimulakan pada jam 8.10 mlm. Perlawanan ini merupakan perlawanan yang di tunggu-tunggu oleh kesemua peminat sukan bola tampar NMC. Kedua dua pasukan lelaki NMC Lions dan NMC Tigers dibarisi oleh pemain-pemain yang pernah beraksi diperingkat pemilihan bola tampar NMC. Pada set pertama kedua-dua pasukan bertukar-tukar servis dan seringkali permainan cantik dan rally panjang di pamerkan oleh para pemain. Penyokong kedua-dua pasukan turut berdebar menonton permainan berkelas antarabangsa ini. 'Spike' tajam dan 'setting' menarik daripada setter kedua-dua pasukan menambah debaran dan kesengitan permainan. Akhirnya set pertama dimenangi oleh pasukan NMC Tigers dengan keputusan 25-20. Pada set kedua perlwanan semakin sengit dengan masing-masing ingin memenangi pertandingan dan menambahkan mata pasukan. Akhirnya adat pertandingan ada yang menang dan ada yang kalah. Perlawanan set kedua dimenangi oleh pasukan NMC Tigers dengan keputusan 20-15 dan seterusnya memenangi permainan bola tampar NMC lelaki. Pihak NMC ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pemain dan penyokong yang terlibat dan diharapkan program ini dapat dijadikan platform untuk mencungkil bakat dan merapatkan lagi ukhwah di antara ahli-ahli NMC. Syabas diucapkan kepada semua peserta dan ajk NMC games 2014.
0 Comments
Assalamualaikum dan salam sejahtera,
Pada hari Sabtu, 1 November 2014 telah diadakan acara Bolasepak sempena NMC Games 2014 yang berlangsung di padang Astroturf, Forest Recreation Ground, Forest Fields, Nottingham. Acara tersebut mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada warga NMC yang hadir untuk menyaksikan pertembungan epic ala El Clasico di antara NMC Tigers dan NMC Lions. NMC Tigers yang dipimpin oleh kapten Pak Din turun berjersi hitam manakala NMC Lions pula dipimpin oleh kapten Hafiz yang turun berjersi merah. Perlawanan tersebut dikendalikan oleh saudara Hamidi sebagai pengadil; dijalankan dalam format 7 sebelah, 3 sepertiga masa Sebaik sahaja wisel permulaan dituipkan, kedua-dua pasukan telah cuba untuk mendominasi permainan. Dengan keadaan padang astroturf yang agak licin, para pemain kelihatan amat berhati-hati pada babak awal permainan. Walaupun para pemain jarang beraksi di padang sedemikian, namun ia bukanlah penghalang untuk para pemain menyajikan aksi-aksi yang menarik sepanjang permainan. Kedua-dua pasukan bersilih ganti membuat serangan namun barisan pertahanan kedua-dua pasukan kelihatan begitu ampuh mematahkan serangan-serangan daripada pihak lawan. Barisan tengah kedua-dua pasukan juga tampak ‘hidup’ dengan gelecekan-gelecekan dan hantaran kepada penyerang masing-masing. Namun bola masih lagi gagal meggegarkan gawang pihak lawan. Sepertiga pertama perlawanan berakhir dengan 0-0. Pada sepertiga masa kedua, kedua-dua pasukan menggandakan asakan. Beberapa percubaan telah berjaya dinafikan oleh penjaga gol masing-masing, Arman (NMC Tigers) dan Helmi (NMC Lions). Namun akibat sedikit kelekaan pemain NMC Lions, NMC Tigers akhirnya berjaya memperoleh gol pertama hasil rembatan jarak jauh kapten pasukan mereka iaitu saudara Pak Din yang gagal dibaca oleh Helmi.Tersentak dengan gol tersebut, NMC Lions cuba bangkit dengan asakan bertali arus namun masih tidak menemui penyudah yang tepat. Beberapa hantaran silang oleh pemain sayap gagal dimanfaatkan oleh para penyerang NMC Lions. Sepertiga kedua berakhir dengan NMC Tigers mendahului 1-0. Masuk ke sepertiga terakhir, kedua-dua pasukan menggandakan asakan ke kubu lawan masing-masing. Sedar bahawa mereka sedang ketinggalan, NMC Lions mula mengatur serangan dari arah tengah padang. Setelah mencuba dengan beberapa babak serangan, akhirnya NMC Lions berjaya memperoleh gol pertama mereka melalui sepakan kencang saudara Harris di hadapan pintu gol, selepas berjaya menggelecek beberapa pemain pertahanan NMC Tigers. Selepas keadaan terikat 1-1, kedua-dua pasukan mula ghairah menyerang untuk mencari gol kemenangan. Memandangkan masa hanya tinggal beberapa minit, kedua-dua pasukan seakan-akan tidak mahu perlawanan berlanjutan ke masa tambahan. Masing-masing mengambil giliran menyerang dan kadangkala memaksa kedua-dua penjaga gol bekerja keras untuk menyelamatkan pintu gol masing-masing. Menuju ke minit-minit akhir perlawanan, NMC Tigers berjaya memperoleh gol kemenangan mereka melalui sepakan leret jarak jauh saudara Hilmi Firdaus yang gagal diselamatkan oleh penjaga gol kedua NMC Lions, saudara Zamri. Perlawanan berakhir dengan kemenangan kepada pasukan NMC Tigers 2 gol berbalas satu. Keputusan akhir: NMC Tigers 2-1 NMC Lions Pihak penganjur ingin mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada semua pemain yang memeriahkan acara dan menunjukkan semangat kesukanan yang tinggi sepanjang perlawanan. Semoga berjumpa lagi pada acara yang akan datang. PILIHANRAYA NMC 2014
Assalamualaikum dan salam sejahtera sahabat-sahabat sekalian. Alhamdulillah, kita sudah hampir sampai ke penghujung tahun 2014. Ini bermakna, mandat saya dan rakan-rakan ahli jawatankuasa NMC 2014 bakal berakhir tidak lama lagi. Sudah tiba masanya untuk kami mengundurkan diri dan memberi peluang kepada wajah-wajah baru untuk terus memimpin NMC untuk tahun yang akan datang. Maka dengan ini, saya sebagai wakil jawatankuasa NMC 2014, dengan rasminya mengumumkan bahawa Pilihanraya NMC 2014 akan dilangsungkan pada sepanjang bulan November 2014. Semua warga Malaysia yang menetap di Nottingham (postgraduate, post-doc, sabbatical, bekerja serta pasangan) TIDAK TERMASUK undergraduates layak untuk mengundi. Nama-nama calon telah dipilih dan ditapis oleh Suruhanjaya Pilihanraya NMC. Kriteria pemilihan calon-calon adalah seperti berikut: 1) Belum pernah memegang jawatan dalam NMC 2) Bukan pelajar tahun akhir/tahun 3 3) Tidak pernah menolak untuk memegang jawatan sebelum ini tanpa sebab yang munasabah 4) Dijangka akan berada di Nottingham sehingga penghujung tahun 2015 Jika nama suami dan isteri terpilih, maka nama suami akan diutamakan. Secara automatic nama isteri akan terbatal dan pilihan kedua tertinggi akan dipilih sebagai wakil HELWA. Undian akan dilakukan secara dalam talian/online menerusi link: http://goo.gl/forms/6AMaeU2Qbv Setiap warga NMC dibenarkan mengundi SEKALI sahaja dan sila masukkan nama anda (yang boleh dikenali) di bahagian bawah link tersebut. Setiap undian akan dipantau oleh Suruhanjaya Pilihanraya NMC dan semua undian anda akan dirahsiakan. Tujuan memasukkan nama adalah untuk memastikan tiada yang mengundi lebih daripada sekali. Undian kali kedua dan seterusnya dianggap rosak/batal dan hanya undian pertama sahaja yang akan diambil kira. Waktu mengundi adalah bermula dari pukul 12:00am Sabtu 1 November 2014 hingga 11:59pm Ahad 30 November 2014. Segala undian di luar waktu tersebut tidak akan diambil kira. Ayuh, jalankan tanggungjawab kita semua. Setiap undi anda sangat bernilai. Undilah demi masa depan NMC yang lebih gemilang. Selamat mengundi. JOM UNDI untuk NMC!! Mohd Fadly Mohd Noor NMC 2014 Assalamualaikum dan salam sejahtera,
Pada hari Sabtu 25hb Oktober 2014, telah berlangsung satu lagi acara sukan sempena NMC Games iaitu sukan berprestij- Golf. Kedua-dua kapten pasukan, Tigers dan Lions telah bersetuju untuk menjadikan Nottingham Golf Centre di Bulwell sebagai venue pertandingan. Seramai 12 orang pemain yang telah mengambil bahagian, 6 orang daripada kumpulan Tigers dan 6 orang lagi daripada kumpulan Lions. Kumpulan Tigers diketuai oleh Kapten Saadon dan kumpulan Lions diketuai oleh Kapten Sani. Kesemua pemain telah berhimpun di hadapan clubhouse pada pukul 11.30am untuk sesi taklimat berkenaan rules and regulations; dan juga cara pengiraan markah di mana kesemua pemain bersetuju untuk menggunakan 'System 36 and stableford'. Sebanyak 3 flights yang telah dibahagikan dimana hanya 4 orang sahaja maksimum yg dibenarkan di dalam setiap flight. Pembahagian flight adalah seperti berikut: Flight 1: Saadon, Jepp, Sani dan Dr. Abd. Kareem Flight 2: Dr. Faisal Cha, Suvik, Azam dan Harris Flight 3: Nazafar, Arman, Azlan dan Dzul Dengan semangat kesukanan dan juang yang tinggi, kesemua pemain melaungkan kata-kata semangat dan kedengaran suara jeritan batinku ooppss silap.. jeritan TIGERS! dan juga LIONS! daripada pasukan masing2 sejurus sebelum bermulanya permainan. Tepat jam 12 tengah hari, flight yg pertama telah memulakan tee-off dan debaran sudah mula dirasai oleh setiap pemain. Dari bermulanya flight yang pertama, persaingan amat sengit diantara Saadon dan Sani sudah mula kelihatan. Saadon selaku status juara pertandingan golf ‘Farewell Mirza’ telah menggunakan taktik 'Attacking Game' manakala Sani pula menggunakan taktik 'Safe Game'. Pertandingan yang agak sengit juga ditunjukkan antara Jepp dan Kareem dimana Jepp kelihatan lebih selesa berikutan kelebihan pengalaman bermain di driving range. Walaupun kedua-dua pemain ini baru saja berjinak dgn sukan golf tapi mereka telah menunjukan semangat juang yang tinggi. Flight yang kedua bermula tee-off selepas flight yang pertama menuju ke 'green' lubang 1. Pertandingan sengit dijangka berlaku antara Cha dan Azam begitu juga diantara Suvik dan Harris. Cha telah menunjukan taringnya pada lubang pertama dgn mendapat Par. Azam bermain dengan tenang dan cuba mengekori rapat Cha. Terbukti saingan Azam dan Cha amat sengit. Suvik dan Harris yang hanya berbekalkan satu pengalaman bermain di padang golf semasa sesi golf’Farewell Mirza’ pula bermain dgn rentak sendiri dan cuba memberikan yang terbaik buat pasukan masing2. Seterusnya flight yang ketiga pula menyusul dan sememangnya teramat sengit dengan barisan pemain yg mempunyai pengalaman bermain golf lebih daripada setahun. Saudara Dzulkifli lebih awal lagi mendahului daripada kelompok pemain-pemain lain dan persaingan sengit diantara 3 lagi pemain iaitu saudara Nazafar, Azlan dan Arman. Oleh kerana persaingan yg terlalu sengit, flight yg ketiga hanya sempat menghabiskan 14 lubang sahaja daripada 18 lubang. Oleh kerana flight yg ketiga tidak menghabiskan 18 lubang, maka system perkiraan markah secara 'System 36 dan stableford' tidak dapat diguna pakai. Setelah berbincang dgn ahli-ahli daripada flights yg lain, semua dgn sebulat suara bersetuju untuk membuat kiraansecara bilangan pukulan (strokeplay). Kiraan pukulan hanya dibuat utk 14 lubang sahaja utk berlaku adil. Kiraan pukulan yg paling sedikit dianggap sebagai pemenang. Berikut adalah keputusan tempat 5 teratas untuk acara Golf NMC Games 2014: Pertama: Mohd Sani (NMC Lions) Kedua: Saadon (NMC Tigers) Ketiga: Dr. Faisal Cha (NMC Tigers) Keempat: Azam (NMC Lions) Kelima: Dzulkifli (NMC Lions) Pihak penganjur ingin merakamkan ucapan jutaan tahniah dan terima kasih kepada semua pemain yang sudi meluangkan masa dan menyumbang tenaga bagi memeriahkan acara Golf NMC Games 2014 ini. Semoga berjumpa lagi pada acara yang akan datang. Disediakan oleh: Mohd Sani Assalamualaikum & salam sejahtera,
Pada Ahad 19 Oktober 2014, NMC Games diteruskan dengan acara Netball (Bola Jaring) diantara pasukan Lionesses & Tigresses. Permainan ini telah berlangsung di Netball Outdoor Court, University Park lebih kurang jam 2:55 p.m. Pengadil dari NMS, Cik Zafirah telah dijemput secara khas untuk mengadili acara tersebut. Puan Bazlin telah berbesar hati untuk mengacara acara ini yang dimulai dengan bacaan Al-Fatihah. Permainan dibahagikan kepada 4 'quarters': 10 minit setiap 'quarter' & 3 minit rehat diantara setiap 'quarter'. Setelah diberi penerangan ringkas tentang peraturan permainan & pengenalan sesi 'Shoot the Hoop' semasa waktu rehat, pihak Tigresses telah memilih untuk memulakan permainan melalui proses 'Flip of the Coin'. Pada Quarter 1, Tigresses menunjukkan kehebatan masing-masing dimana mereka mendahului permainan dengan mata 6 - 2. Setelah sesi rehat, Lionesses menebus kekalahan dengan menjaringkan 3 gol manakala Tigresses tidak kurang hebatnya dengan 2 gol. Seorang Tigress, Elissa Nadia Madilah mengalami kecederaan pergelangan kaki dan bernasib baik kerana mendapat rawatan daripada Dr. Urwah yang telah bersiap sedia lebih awal sebagai Medic. Nor Hazren Abdul Hamid telah menunjukkan bakat untuk 'Shoot the Hoop' pada sesi rehat dan berjaya menjaringkan gol. Permainan diteruskan untuk Quarter 3 dimana Tigresses sekali lagi mengungguli permainan dengan mata 6 - 2 walaupun hujan turun renyai-renyai pada ketika itu. Quarter 4 terpaksa diberhentikan lebih awal apabila masa tidak mengizinkan. Pihak penganjur ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pemain yang telah berjuang untuk pasukan masing-masing dan terima kasih kepada ahli-ahli Helwa yang telah meluangkan masa untuk hadir memberi sokongan. Semoga berjumpa lagi pada acara seterusnya. Skor akhir: Tigresses vs Lionesses 15 - 8 Disediakan oleh: Nurain Saiful Assalamualaikum dan salam sejahtera,
Kehangatan NMC Games 2014 diteruskan lagi dengan acara Badminton. Acara yang berlangsung pada hari Sabtu 18 Oktober 2014 di Noel Street Leisure Centre, Nottingham itu mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada para warga NMC. Kedua-dua pasukan yang bertanding, NMC Tigers dan NMC Lions juga telah membariskan pemain terbaik mereka untuk mewakili pasukan masing-masing. Kategori-kategori yang telah dipertandingkan adalah: - Bergu Lelaki 1 - Bergu lelaki 2 - Bergu Lelaki 3 - Bergu Wanita - Bergu Campuran Untuk pasukan NMC Tigers, mereka telah menurunkan saudara Anas/Arman (bergu lelaki 1), Khairuddin@Pak Din/ Hafiz Baharudin (bergu lelaki 2), Hilmi/Fazrul (bergu lelaki 3), Mustakiza/Raudzah (bergu wanita) dan Jefri/Elissa (bergu campuran). Manakala untuk pasukan NMC Lions, mereka telah membariskan saudara Asyran/Fadly (bergu lelaki 1), Helmi/Shah (bergu lelaki 2), Azam/Hadi (bergu lelaki 3), Ain/Sabariah (bergu wanita) dan Sani/June (bergu campuran). Berikut adalah keputusan penuh perlawanan: - Bergu lelaki 1: NMC Lions menang 21-15, 21-11 - Bergu lelaki 2: NMC Tigers menang 21-16, 21-15 - Bergu lelaki 3: NMC Lions menang 16-21, 21-5, 21-13 - Bergu wanita: NMC Tigers menang 21-3, 21-9 - Bergu campuran: NMC Tigers menang 23-21, 21-14 Pihak penganjur ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada para pemain yang telah berjuang memerah keringat dan semua sahabat NMC yang sudi hadir memeriahkan acara tersebut. Semoga berjumpa lagi pada acara yang seterusnya. Jurugambar: Muhammad Asyran Assalamualaikum & salam sejahtera,
Kami dari pihak NMC ingin mengucapkan selamat datang kepada Dr. Mohd Farid dan Dr. Hazulin sekeluarga ke bumi Nottingham. Dr. Hazulin akan melanjutkan pelajaran di peringkat PhD di Queen's Medical Centre, University of Nottingham. Mereka bersama 2 orang anak telah tiba di Nottingham pada Ahad 12 Oktober 2014 yang lalu dan kini menetap di kawasan Dunkirk. Kami amat mengalu-alukan ketibaan anda sekeluarga dan semoga ukhuwah yang terjalin di kalangan kita semakin erat selepas ini. Selamat datang sekali lagi untuk Dr. Farid sekeluarga!! Assalamualaikum dan salam sejahtera,
Pada hari Sabtu 11 Oktober 2014, telah diadakan Majlis Sambutan Aidiladha NMC yang bertempat di dewan Radford Primary School, Nottingham. Majlis tahunan tersebut mendapat sambutan yang begitu menggalakkan daripada warga Malaysia yang menetap di bumi Nottingham. Majlis dimulakan dengan kata-kata aluan daripada pasangan pengerusi majlis, saudara Syahiran dan saudari Nor Syukrina Jasmin dan diikuti dengan bacaan doa yang dipimpin oleh saudara Ahmad Ibrahim. Selepas itu Majlis diteruskan dengan ucapan ringkas daripada Penghulu NMC dan dan selepas itu para hadirin sama-sama mendengar sedikit perkongsian daripada Tuan Haji Azlan mengenai perjalanan beliau menunaikan fardhu Haji bersama isteri di tanah suci Mekah pada tahun 2013. Beliau berkongsi bagaimana cara-cara untuk menguruskan perjalanan ke tanah suci dari United Kingdom, persediaan diri dan pengalaman menunaikan haji secara keseluruhannya. Sesi yang amat menarik itu mendapat perhatian penuh daripada para hadirin yang hadir yang mendengar dengan penuh minat. Selepas itu, para hadirin dihiburkan dengan persembahan oleh 'warga-warga kecil' iaitu anak-anak warga NMC di bawah kelolaan tenaga-tenaga pengajar KAFA 'Lil Caliph. Mereka beramai-ramai menyayikan lagu 'Allah Created Everything' dan 'Thank You Allah'. Persembahan adik-adik comel tersebut amat menarik dan para hadirin amat terhibur tengan telatah mereka. Setelah selesai persembahan, para hadirin diberi sedikit taklimat mengenai KAFA 'Lil Caliph oleh saudara Aiman Amri, yang juga merupakan salah seorang tenaga pengajar. Beliau menerangkan serba sedikit mengenai latar belakang, sejarah penubuhan dan aktiviti-aktiviti yang dijalankan di KAFA tersebut. KAFA yang dikelolakan secara sukarela oleh adik-adik undergraduates warga Malaysia tersebut akan memulakan sesi baru pada hari Sabtu 18 Oktober 2014 pada pukul 11am-1pm. Acara diteruskan dengan sesi perkenalan warga baru NMC. Para warga Malaysia yang baru tiba sekitar bulan September dan awal Oktober 2014 mengambil giliran memperkenalkan diri masing-masing. Selepas itu, para hadirin sekali lagi dihiburkan oleh seorang artis nasyid, bekas ahli kumpulan UNIC, saudara Fitri Harris yang baru sahaja tiba di bumi Nottingham untuk melanjutkan pelajaran di peringkat PhD. Beliau telah mendendangkan 3 buah lagu dan di antaranya 'Kerana Cinta' dan 'Hanya Tuhan Yang Tahu'. Lagu-lagu yang dinyanyikan sangat menyentuh kalbu dengan lirik yang begitu puitis dan mendapat tepukan gemuruh daripada hadirin. Setelah selesai persembahan, para hadirin bergerak ke perkarangan dewan untuk menikmati jamuan yang disediakan oleh para warga Helwa NMC. Antara juadah yang disediakan adalah nasi tomato, nasi minyak, kari kambing, kurma kambing, kambing masak lada hitam, sup kambing, kambing masak merah, ayam goreng berempah, sup ayam, buah-buahan dan desserts seperti jeli dan puding. Sambil menjamu selera, para hadirin beramah-mesra dan bertanya khabar antara satu sama lain. Pada penghujung majlis, para hadirin sekali lagi berkumpul di dalam dewan untuk sesi bergambar beramai-ramai dan majlis bersurai kira-kira pukul 1.30 tengahari. Pihak penganjur ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua yang terlibat dalam menjayakan maljis sambutan Aidiladha pada kali ini dan juga para warga NMC yang sudi hadir memeriahkan majlis. Tidak lupa juga jutaan terima kasih kepada warga Helwa NMC termasuk adik-adik daripada Nottingham Malaysian Society (NMS) dan Nottingham Trent University Malaysian Society (NTUMS) yang sama-sama bertungkus-lumus menyediakan kesemua juadah yang dihidangkan. Semoga ukuwah yang terjalin di antara kita semua semakin erat dan semoga berjumpa lagi pada majlis sambutan Aidiladha pada tahun hadapan. Jurugambar: Muhammad Asyran Assalamualaikum dan salam sejahtera,
NMC Games 2014 telah diteruskan dengan sukan kedua iaitu Pingpong lelaki dan wanita. Acara tersebut berlangsung pada hari Rabu 8 Oktober 2014 dan Jumaat 10 Oktober 2014 bertempat di John Caroll Leisure Centre, Nottingham. Kedua-dua pasukan yang bertanding, NMC Tigers dan NMC Lions telah menurunkan barisan terbaik mereka. Acara yang telah dipertandingkan adalah: - Perseorangan lelaki - Bergu Lelaki 1 - Bergu lelaki 2 - Bergu Lelaki 3 - Perseorangan Wanita 1 - Perseorangan wanita 2 Untuk pasukan NMC Tigers, mereka telah membariskan saudara Zulhelmy@Ming (perseorangan lelaki), Ammar/Jefri (bergu lelaki 1), Zailani/ Hafiz Baharudin (bergu lelaki 2), Hilmi/Khairuddin@ Pak Din (bergu lelaki 3), Dr. Natasya (perseorangan wanita 1) dan Dr. Asma' (perseorangan wanita 2). Manakala untuk pasukan NMC Lions, mereka telah menurunkan Dr. Poon (perseorangan lelaki 1), Harris/Asyran (bergu lelaki 1), Nazman/Sani (bergu lelaki 2), Azam/Nizam (bergu lelaki 3), Puan Nazatul Hanim (perseorangan wanita 1) dan Dr. Urwah (perseorangan wanita 2). Berikut adalah keputusan penuh perlawanan: - Perseorangan lelaki: NMC Lions menang 21-16, 17-21, 21-13 - Bergu lelaki 1: NMC Lions menang 21-8, 21-15 - Bergu lelaki 2: NMC Tigers menang 21-15, 21-10 - Bergu lelaki 3: NMC Lions menang 23-21, 21-12 - Perseorangan wanita 1: NMC Lions menang 21-15, 21-13 - Perseorangan wanita 2: NMC Lions menang 21-9, 21-8 Pihak penganjur ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada para pemain yang bertungkus-lumus berjuang dan semua sahabat NMC yang sudi hadir memeriahkan acara tersebut. Semoga berjumpa lagi pada acara yang seterusnya. Aasalamualaikum & salam sejahtera,
NMC Games 2014 telah membuka tirai kejohanan edisi sulung ini dengan acara sepaktakraw lelaki. Acara yang berlangsung pada hari Ahad, 5 Oktober 2014 di dewan Noel Street tersebut telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada para penyokong pasukan masing-masing. Untuk regu pertama, pasukan NMC Tigers membariskan saudara Khairuddin (Pak Din) sebagai tekong, Jefri sebagai 'feeder', Hilmi Firdaus sebagai 'killer' and Faizan sebagai simpanan; manakala NMC Lions pula menurunkan saudara Azam sebagai tekong, Hafiz Abu Hassan sebagai 'feeder', Nazman sebagai 'killer' dan Fadly sebagai simpanan. Perlawanan tersebut bermula dengan begitu menarik di mana kedua-dua pasukan bergilir-gilir mengutip mata. Dengan kehadiran para penonton, dewan tersebut gegak gempita dengan sorakan dan kata-kata semangat daripada penyokong kedua-dua pasukan. Kedua-dua tekong mempamerkan teknik servis yang begitu meyakinkan dan para pemain seolah-olah begitu berhati-hati pada set pertama perlawanan. Killer kedua-dua pasukan juga sering memeriahkan suasana dengan lipatan dan gulungan yang begitu mengkagumkan hasil daripada umpanan 'feeder' masing-masing. Set pertama telah dimenangi oleh pasukan NMC Lions dengan mata 21-14. Seolah-olah tidak mahu mengalah, NMC Tigers bangkit garang pada set yang kedua. Dengan servis 'tak berbayang' Pak Din, barisan pemain NMC Lions seakan-akan terpukau dengan corak permainan NMC Tigers. Walaupun pada mulanya NMC Lions tampak begitu yakin, namun mereka agak longlai menuju saat-saat akhir set kedua dengan melakukan beberapa 'unforced error' dan secara tidak langsung memberikan kelebihan kepada pasukan NMC Tigers. Akhirnya pasukan NMC Tigers telah berjaya memenangi set kedua dengan mata 21-11. Perlawanan yang sengit tersebut berlanjutan sehingga ke rubber set dan kedua-dua pasukan masuk ke gelanggang dengan penuh bersemangat. Set penentuan yang amat mendebarkan itu bermula dengan begitu rancak dan para pemain tidak menunjukkan tanda-tanda kepenatan. Rejaman dan 'blocking' yang dilakukan bersilih ganti amat menarik perhatian penonton. Namun, sudah menjadi adat permainan, mesti ada yang menang dan ada yang kalah. Akhirnya pasukan NMC Lions telah berjaya memenangi set penentuan tersebut dengan mata 21-16 dan sekaligus mengutip mata pertama untuk NMC Lions untuk NMC Games 2014 ini. Selepas itu, regu kedua pula turun untuk membuat perhitungan. Pasukan NMC Tigers menurunkan saudara Hafiz Baharuddin sebagai tekong, Zulhelmy (Ming) sebagai 'feeder', Faisal (Cha) sebagai 'killer' dan Anas sebagai simpanan; manakala NMC Lions pula membariskan saudara Sani sebagai tekong, Helmi Ali sebagai 'feeder', Harris sebagai 'killer' dan Zamri sebagai simpanan. Perlawanan regu kedua ini tidak kurang hebatnya. Para pemain kedua-dua pasukan menunjukkan semangat juang yang tinggi dan mempamerkan permainan yang begitu mempersonakan. Para penonton disajikan dengan teknik servis yang menarik dan mereka membuat kiraan 1-2-3 seiring dengan bola yang dimainkan. Set pertama telah dimenangi oleh NMC Lions dengan mata 21-18. NMC Tigers bangkit dengan begitu meyakinkan pada set kedua. Seperti wira yang baru pulih daripada kecederaan, NMC Tigers seolah-olah tidak memberi peluang kepada NMC Lions untuk menyerang. Kepantasan tandukan yang diselang-selikan dengan libasan oleh pemain NMC Tigers kadangkala gagal disambut dengan baik oleh para pemain NMC Lions. Akhirnya NMC Tigers berjaya memenangi set kedua dengan mata 21-12. Sewaktu rehat, para pemain berbincang strategi masing-masing dan kedua-dua pasukan menunjukkan keyakinan yang amat tinggi untuk memenangi set ketiga yang akan berlangsung selepas itu. Set penentuan bermula dengan begitu mendebarkan. Para pemain kelihatan begitu bersungguh berjuang untuk pasukan masing-masing. Walaupun cuaca amat dingin di luar, namun bahang pertandingan amat terasa di dalam dewan. Para penonton tidak berkelip menyaksikan wira pasukan masing-masing beraksi di dalam gelanggang. Set penentuan yang agak sengit itu akhirnya dimenangi oleh pasukan NMC Lions dengan mata 21-13 dan sekaligus memberikan mata yang kedua untuk pasukan NMC Lions. Pihak penganjur ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada para penonton yang hadir dan setinggi-tinggi penghargaan kepada para pemain yang berjuang dalam acara sepaktakraw kali ini. Semoga kita berjumpa lagi dalam acara yang seterusnya. Keputusan Penuh: Regu 1: NMC Lions menang 21-14, 11-21, 21-16. Regu 2: NMC Lions menang 21-18, 12-21, 21-13. Jurugambar: Muhammad Asyran Assalamualaikum & salam sejahtera,
Pada petang Sabtu, 4 Oktober 2014, telah berlangsung perlawanan persahabatan bolasepak “Muhibbah Cup” antara pasukan Nottingham Malaysian Community (NMC) dan Masyarakat Malaysia Loughborough (MML). Perlawanan timbal balik kedua itu diadakan di padang Sports Complex, University of Nottingham dan dimulakan pada kira-kira pukul 4.15 petang. Pasukan NMC kali ini dipimpin oleh Pak Dean ‘van Gaal’ yang bijak mengatur strategi pasukan. Pasukan NMC bermula garang sebaik sahaja wisel permulaan ditiupkan dengan mengatur serangan demi serangan ke pintu gol MML. Dengan kelebihan beraksi di gelanggang dan di hadapan penonton sendiri, permainan pasukan NMC kelihatan lebih terancang dengan membuat hantaran-hantaran pendek pada awal babak permainan berbanding dengan pasukan MML yang masih lagi belum ‘settle down’ lebih-lebih lagi dalam keadaan cuaca yang amat dingin. Hasil serangan bertali arus, NMC berjaya mendapatkan gol pertama melalui pemain muda Taufik ‘Neymar’ pada seawal minit ke-5 perlawanan setelah menyempurnakan lorongan cantik daripada Sani 'Falcao'. Seolah-olah belum berpuas hati dengan gol pertama tersebut, usaha pasukan NMC sekali lagi membuahkan hasil dengan mendapat gol kedua. Kali ini gol dijaringkan oleh Jefri ‘Aubameyang’ pada minit ke-10 hasil umpanan kemas Me-Cha 'Ozil' Ingatkan panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengahari. Setelah bolos gol kedua, pasukan MML mula menunjukkan taring mereka. Kali ini pasukan MML pula mengatur serangan ke kubu NMC. Dengan semangat juang yang tinggi, para pemain MML juga mengatur serangan dengan penuh tersusun dengan build-up yang menarik. Namun serangan mereka pada awalnya berjaya dipatahkan oleh barisan pertahanan NMC yang diketuai oleh Ming ‘Terry’ dan dibantu oleh defending midfielder, Azam ‘Gerrard’. Pada minit ke-15, pasukan MML hampir-hampir menjaringkan gol pertama MML apabila penyerang mereka berjaya lolos ke dalam kotak penalti NMC. Namun, sepakan kencang beliau berjaya ditepis keluar oleh penjaga gol NMC, Helmi ‘Mignolet’ yang seolah-olah telah dapat menjangka arah bola tersebut. Selepas itu, pasukan MML terus ghairah mengatur serangan demi serangan ke kubu NMC dan hasilnya, pada minit ke-20, pasukan MML telah dihadiahkan dengan sepakan penalti setelah terjahan keras dilakukan kepada pemain mereka. Pemain MML tidak melepaskan peluang tersebut dengan melepaskan sepakan kencang kearah bucu kiri gawang NMC dan tidak berjaya diselamatkan oleh penjaga gol NMC, Helmi ‘Mignolet’. Seolah-olah mendapat tonik dengan gol pertama tersebut, pasukan MML terus-menerus menyerang ke kubu NMC. Namun ketangkasan Helmi ‘Mignolet’ telah menafikan banyak peluang MML. Mungkin kerana sedikit kelekaan barisan pemain NMC, bak kata pepatah orang-orang tua dalam drama pendek Sang Kancil “sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya”, pasukan MML telah berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-30 dengan membuat lambungan cantik ke arah kiri gawang NMC dan gagal dijangkau oleh Helmi ‘Mignolet’. Seolah-olah tersentak dangan gol penyamaan tersebut, pasukan NMC mula menukar corak permainan dan menggandakan asakan dengan membuat serangan dari arah kiri dan kanan pintu gol MML melalui larian deras Me-Cha ‘Ozil’ dan Harris ‘Oscar’. Jentera tengah NMC juga kadangkala berjaya mengkucar-kacirkan pertahanan MML dengan gelecekan pantas Hafiz A. ‘Fabregas’ dan Pak Dean ‘van Gaal’ sendiri. Pada lewat babak pertama, akhirnya pasukan NMC berjaya memperoleh gol ke-3 hasil tandukan ‘terbang’ oleh pemain yang baru dimasukkan, Hafiz ‘van Persie’ Pada babak kedua, pasukan NMC membuat pertukaran dengan mengeluarkan penjaga gol, Helmi ‘Mignolet’ dan memasukkan Nazib ‘de Gea’. Anas ‘Hazard’ juga dimasukkan untuk menggantikan Harris ‘Oscar’. Babak kedua yang penuh mendebarkan dimulakan dengan aksi seimbang oleh kedua-dua pasukan. Kedua-dua pasukan mengambil giliran meyerang ke kubu lawan masing-masing namun bola tidak berjaya menggegarkan jaring. Hanya pada minit ke-15 separuh masa kedua, pasukan NMC berjaya memperoleh gol keempat hasil ‘miscommunication’ antara pertahanan MML dan penjaga gol mereka. Perlawanan berakhir pada pukul 6 petang dengan keputusan NMC 4 - 2 MML. Seusai perlawanan, para pemain kedua-dua pasukan beramah mesra dan menikmati sedikit jamuan sempena Hari Raya Aidiladha. Nasi impit, kuah kacang, nasi goreng, bihun goreng, mi goreng, kek lapis dan buah-buahan adalah antara juadah yang disediakan. Majlis diakhiri dengan ucapan ringkas oleh Penghulu NMC dan penyerahan piala ‘Muhibbah Cup’ oleh wakil MML kepada wakil NMC. Pihak penganjur ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada pihak MML yang sudi datang ke Nottingham lebih-lebih lagi pada petang Aidiladha ini demi untuk menjayakan perlawanan persahabatan Muhibbah Cup pada kali ini. Juga setinggi-tinggi penghargaan kepada para pemain kedua-dua pasukan yang menunjukkan semangat kesukanan yang tinggi dan bermain dengan bersungguh-sungguh sepanjang perlawanan di padang. Semoga kita berjumpa lagi pada sesi Muhibbah Cup yang akan datang. Jurugambar: Mohd Zulhelmy@ Ming Assalamualaikum & salam sejahtera,
Pada hari Sabtu 4 Oktober 2014 bersamaan 10 Zulhijjah 1435H, telah diadakan majlis solat sunat Aidiladha bertempat di surau Amenities Building, Jubilee Campus, University of Nottingham. Majlis berlangsung kira-kira pukul 9.15 pagi, dimulakan dengan sesi takbir raya yang dikendalikan oleh saudara Hafiz Abu Hassan. Pada tepat pukul 9.45 pagi, para hadirin bersama-sama mendirikan solat sunat Aidiladha secara berjemaah yang diimamkan oleh saudara Hafiz Abu Hassan. Selesai solat, para jemaah sama-sama mendengar khutbah Aidiladha yang disampaikan oleh saudara Ammar. Antara intipati khutbah yang disampaikan adalah konsep qurban dan betapa pentingnya kita sebagai umat Islam untuk menjaga aqidah dan iman kita. Khutbah selesai pada pukul 10.40 pagi dan selepas itu para hadirin bersama-sama menikmati sedikit jamuan yang disediakan oleh para warga NMC sendiri secara potluck. Seperti biasa, para warga NMC mengambil kesempatan ini untuk bertanya khabar dan bertukar-tukar cerita, lebih-lebih lagi sempena meraikan Aidiladha di bumi asing. Majlis berakhir pada pukul 12 tengahari. Kami dari pihak ahli jawatankuasa penganjur ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada sahabat-sahabat NMC yang sama-sama hadir untuk memeriahkan majlis pada pagi ini. Semoga kita berjumpa lagi pada Majlis Sambutan Aidiladha NMC pada minggu hadapan. Assalamualaikum & salam sejahtera,
Sehubungan dengan Hari Raya Aidiladha yang bakal menjelang, pihak NMC akan menganjurkan Majlis Sambutan Aidiladha NMC 2014/1435H pada hari Sabtu 11 Oktober 2014. Butiran adalah seperti berikut: Tarikh: 11 Oktober 2014 Masa: 10:00 pagi - 1:00 tengahari Tempat: Radford Primary School, Denman Street West, Nottingham NG7 3FL Tentatif program: 9:30 pagi: Ketibaan para hadirin & hadirat 10:00 pagi: Bacaan doa & ucapan alu-aluan Pengerusi Majlis 10:15 pagi: Ucapan oleh Penghulu NMC 10:20 pagi: Ucapan wakil Education Malaysia 10:30 pagi: Jamuan (terus berjalan semasa persembahan diadakan) 11:00 pagi: Persembahan oleh warga NMC 11:30 pagi: Sesi perkenalan warga baru NMC 1:00 tengahari: Majlis bersurai Kami daripada pihak NMC dengan berbesar hati menjemput semua sahabat-sahabat warga Malaysia yang berada di bumi Nottingham agar dapat sama-sama hadir untuk memeriahkan majlis tersebut. Jumpa anda semua di sana!!! Assalamualaikum & salam sejahtera,
Education Malaysia UK & Ireland melalui Central Mosque London telah mengumumkan bahawa tarikh Hari Raya Aidiladha untuk seluruh United Kingdom pada tahun ini jatuh pada hari Sabtu 4 Oktober 2014. Sehubungan dengan itu, kami daripada pihak NMC ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada seluruh warga NMC yang beragama Islam. Pihak NMC akan menganjurkan majlis solat sunat Aidiladha pada pagi hari raya tersebut. Butiran adalah seperti berikut: Tarikh: 4 Oktober 2014 Tempat: Surau Amenities Building, Jubilee Campus, University of Nottingham Tentatif: 9.00 am : Ketibaan para hadirin & takbir raya 9.30 am : Solat sunat Aidiladha 9.45 am : Khutbah Aidiladha 10.15 am: Jamuan (potluck) 12.00pm: Majlis bersurai Kami dari pihak NMC berbesar hati menjemput sahabat-sahabat semua untuk sama-sama hadir bagi mengimarahkan majlis tersebut. Jumpa anda semua di sana.. Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera. Pada hari ini 27 Sept 2014,Pasukan NMC telah bertanding dalam perlawanan sepak takraw antarabangsa yang diadakan di London. Pasukan NMC yang diwakili oleh Saudara Azam, Jeff dan Hafiz A. Mereka telah di undi didalam kumpulan B bersama Germany, Touluse (France) dan KULANCS 2. Berikut merupakan keputusan perlawanan. Perlawanan pertama menentang pasukan German, Pasukan NMC tewas 21-17, 219. Perlawanan kedua pasukan NMC menentang pasukan Toulouse (France) dimenangi oleh pasukan NMC dengan 21-10, 21-6. Perlawanan terakhir menentang KULancaster 2 juga dimenangi oleh NMC dengan keputusan 21-10,21-11. Dengan keputusan ini maka NMC telah memenangi naib juara kumpulan dan seterusnya layak ke suku akhir menentang pasukan UPM yang merupakan juara bertahan. Atas beberapa sebab yang tidak dapat dielakkan pasukan NMC terpaksa menarik diri untuk menentang pasukan UPM pada hari esoknya iaitu Ahad 28 Sept 2014. Tahniah diucapkan kepada pasukan NMC dalam penyertaan sulung mereka dengan keputusan yang amat membanggakan.
Pada hari Khamis 25 September 2014, telah diadakan sesi latihan terakhir skuad sepaktakraw NMC menjelang London International Sepaktakraw Tournament yang akan berlangsung pada 27-28 September 2014. Sesi latihan tersebut telah diadakan di Dewan Noel Street dan dihadiri oleh sebahagian rakan-rakan NMC demi untuk menunjukkan sokongan kepada skuad sepaktakarw NMC yang akan berjuang pada hujung minggu nanti. Untuk kejohanan kali ini, NMC akan menghantar satu pasukan yang diwakili oleh saudara Azam (selaku ketua pasukan), Hafiz, Jefri & Nazman.
Latihan yang berlangsung selama dua jam tersebut diakhiri dengan sesi penyampaian sumbangan daripada wakil Nottingham Malaysian Community dan wakil Kelab UMNO Nottingham kepada ketua pasukan, saudara Azam. Kami dari pihak NMC ingin mengucapkan selamat berjuang kepada skuad sepaktakraw NMC. Doa kami semua akan mengiringi kalian. Selamat maju jaya dan semoga beroleh kejayaan pada kejohanan itu nanti. Kepada rakan-rakan yang berkesempatan, anda semua dijemput hadir bersama-sama untuk meyokong pasukan kita di:
Assalamualaikum & salam sejahtera, Demi untuk memartabatkan mutu sukan serta memupuk dan menyemai gaya hidup sihat di kalangan warga NMC, Nottingham Malaysian Community melalui NMC Sports Committee akan menganjurkan pesta sukan NMC atau dengan rasminya dipanggil NMC Games 2014 pada sepanjang bulan Oktober-November 2014 ini. Para warga NMC yang terdiri daripada postgraduate (Masters, PhD, Post-Doc), sabbatical dan yang bekerja di Nottingham (suami & isteri) akan dibahagikan kepada 2 pasukan secara rawak (undian) iaitu pasukan NMC TIGERS dan NMC LIONS. Pihak penganjur telah bersetuju untuk melantik saudara Anas sebagai ketua pasukan NMC TIGERS dan saudara Shah sebagai ketua pasukan NMC LIONS. Mesyuarat ketua-ketua kontinjen dan undian ahli telah dijalankan pada hari Sabtu, 20 September 2014 bertempat di bilik mesyuarat utama, Jubilee Campus dan dihadiri oleh kedua-dua Ketua Pasukan dan beberapa ahli jawatankuasa penyelaras NMC Games 2014. Mesyuarat tersebut telah berjalan dengan begitu harmoni dan undian ahli juga telah dijalankan secara telus, bebas, adil, saksama, efisyen, rawak, betul, tepat dan tidak dipengaruhi oleh unsur-unsur luar yang tidak sihat. Berikut adalah nama ahli setiap pasukan yang bertanding:
*nama peserta adalah termasuk nama isteri masing-masing dan senarai ahli akan dikemaskini dari masa ke semasa. Senarai acara yang akan dipertandingkan: 1) Badminton 3 bergu lelaki 1 bergu wanita 1 bergu campuran Sabtu 18/10/2014- Dewan Noel Street 2) Netball (wanita) Ahad 19/10/2014- University Park 3) Futsal (lelaki) Jumaat 31/10/2014- Dewan Noel Street 4) Sepaktakraw (lelaki) Ahad 5/10/2014- Dewan Noel Street 5) Volleyball (lelaki & wanita) Ahad 2/11/2014- Dewan Noel Street 6) Pingpong 3 bergu lelaki 1 bergu wanita Jumaat 10/10/2014- Dewan Noel Street atau John Caroll 7) Tennis (lelaki) Sabtu 1/11/2014- Jubilee campus atau University Park 8) Bowling (lelaki & wanita) Sabtu 8/11/2014- Pusat Bowling Nottingham City Centre 9) Golf (lelaki) Tarikh & Tempat akan diberitahu kemudian Format pertandingan akan dimaklumkan oleh ketua pasukan masing-masing. Datanglah beramai-ramai untuk menyertai dan menyokong pasukan anda!! Sekitar Majlis Mesyuarat Ketua Kontinjen & undian ahli kumpulan NMC Games 2014:
Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera. Pada Sabtu, 13 September 2014 yang lepas telah diadakan sesi bergotong royong dan rewang sempena mengangkat barang Tuan Mirza dan keluarga ke dalam kontena. Acara seperti biasa dimulakan dengan sarapan pagi yang disediakan oleh warga HELWA NMC dan dimulakan program mengangkat barang pada jam 9.30 pagi. Kemudian barang telah dimasukkan ke dalam kontena secara bergotong royong, bak kata pepatah: berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Tepat jam 11.15 pagi kesemua barang telah selamat dimasukkan ke dalam kontena. Usai mengangkat barang program diteruskan dengan jamuan lauk pauk yang enak sempena makan tengahari yang juga disediakan secara bergotong royong oleh warga HELWA NMC. Majlis selesai sekitar jam 4 petang. Terima kasih buat semua ahli NMC yang hadir.
Pada Sabtu, 20 September 2014 Tuan Mirza telah berangkat pulang ke Malaysia setelah sekian lama berada di bumi Nottingham ini. Tuan Mirza sekeluarga berangkat dari lapangan terbang Heathrow, London UK. Kami dari pihak NMC mengucapkan selamat maju jaya buat Tuan Mirza dan keluarga dalam apa jua bidang yang diceburi. Sekian, terima kasih. Kalau ada sumur di ladang, Bolehlah kita menanam padi, Kalau ada umur yang panjang, InsyaAllah kita berjumpa lagi. Assalamualaikum dan salam sejahtera,
Pada petang tadi, Ahad 7 September 2014, telah diadakan Kejohanan Golf tertutup NMC 2014 bertempat di Bullwell Forest Golf Club, Nottingham. Kejohanan ini juga diadakan sempena kepulangan En. Mirza dan keluarga ke tanahair tidak lama lagi. Sesi bermula pada pukul 1:30 pm itu mendapat sambutan yang begitu menggalakkan daripada warga NMC. Dalam keadaan cuaca yang sangat baik, para peserta turun ke padang dengan penuh bergaya. Para pemain dapat menghabiskan 15 lubang dengan jayanya. Beberapa kategori yang dipertandingkan antaranya Longest Drive, nearest to the pin, hole in one dan top three finishes. En. Mirza telah bermurah hati menaja hadiah-hadiah kemenangan termasuk kayu golf berjenama dan hadiah sampingan. Hadiah kedudukan 3 teratas dimenangi oleh: 1) En. Saadon 2) En. Mirza 3) En. Azam Said (juga memenangi kategori Longest Drive) Kami dari pihak NMC mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada pihak penganjur dan semua yang sama-sama turut serta dalam menjayakan sesi untuk kali ini. Kami juga ingin mengucapkan selamat maju jaya kepada En. Mirza & keluarga, semoga kita berjumpa lagi dan dapat bermain golf di tanahair pula. Assalamualaikum & salam sejahtera,
Pada hari Jumaat 5 September 2014, telah diadakan sesi latihan skuad sepak takraw NMC di Noel Street Leisure Centre, Nottingham. latihan ini adalah sebagai rangka persiapan skuad NMC sebelum menyertai London International Sepak Takraw (LIST) tournament yang akan diadakan pada penghujung bulan ini. Menurut kapten pasukan, saudara Sani, yang juga salah seorang tekong skuad ini, latihan pada malam tersebut lebih menekankan aspek ketahanan fizikal dan mental di mana para pemain didedahkan dengan teknik menimang bola takraw dengan lebih berkesan dan cara-cara untuk mengawal emosi ketikamana pihak lawan membuat 'celebration' ketika memperoleh mata. Beliau yang mempunyai gaya permainan ala-ala bekas tekong Thailand, Pakdee Dangwatanapaibul juga berkata, jika ingin mengecapi kejuaraan, skuad ini perlu membuat sedikit 'homework' mengenai taktik pihak lawan disamping mencipta teknik tekong baru yang lebih agresif dan menggerunkan. Menurut killer utama pasukan (nama terpaksa dirahsiakan -sebagai strategi menghadapi pihak lawan), kekuatan skuad NMC kali ini ialah masing-masing mempunyai bakat yang terpendam, dan bakat-bakat inilah yang perlu digilap untuk memantapkan prestasi pasukan. Selepas ini mungkin beberapa lagi sesi latihan akan diadakan dan fokus latihan selepas ini akan lebih menjurus kepada rejaman dan gulungan bola yang lebih efektif disamping menggulung jaring pada tamat waktu latihan. Kami dari pihak NMC ingin mengucapkan selamat maju jaya kepada skuad sepak takraw NMC dan semoga beroleh kejayaan pada pertandingan itu nanti. Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera. "Merdeka! Merdeka! Merdeka!". Bertepatan dengan sambutan kemerdekaan Malaysia pada 31 August 2014 yang lepas, Pihak NMC tidak ketinggalan untuk memeriahkan majlis dengan mengadakan perlawanan Pesta Bola Merdeka NMC menentang pasukan Garuda Senior Notts (Indonesia). Perlawanan persahabatan ini juga bersempena dengan kemerdekaan negara Indonesia pada tanggal 17 Aug 1945. Program ini juga dapat mengeratkan silaturrahim sambil mengenali warga Indonesia di bumi Nottingham dengan lebih erat lagi. Perlawanan dimulakan dengan ucapan dari kedua-dua kapten pasukan Harimau Malaya Senior Notts (Pak Din) dan Kapten Garuda Senior Notts (Pak Fifik). Majlis diteruskan dengan sesi bergambar sebelum perlawanan. Perlawanan dengan konsep tujuh sebelah ini bermula sekitar 3.30pm dengan keadaan cuaca yang begitu baik. Pihak Notts memulakan serangan dan berjaya memperolehi gol pertama. Permainan diteruskan dengan persembahan hebat kedua-dua pasukan. Pasukan NMC dengan permainan hantaran pendek mengasak kerap ke kubu lawan dengan strategi mereka bermain hantaran panjang. Sekali sekala serangan balas dari pihak lawan mencemaskan pertahanan NMC. Permainan ditamatkan dengan jaringan 8 (Harimau Malaya Senior Notts) berbalas 2 dari pihak Garuda Senior Notts. Setelah tamat perlawanan pemain-pemain dihidangkan dengan Sandwich Sardin Sengat yang dibuat khas oleh Chef Suvik beserta minuman isotonic. Program diakhiri dengan sesi bergambar sekali lagi. Terimakasih buat warga Indonesia. Di harap program ini dapat diteruskan menjadi acara tahunan di masa akan datang. Kami dari Nottingham mengucapkan Selamat Hari Kebangsaan. Merdeka, Merdeka, Merdeka.
Keputusan Perlawanan Harimau Malaya Senior Notts (8) VS Garuda Senior Notts (2) Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera. Suruhanjaya Tinggi Malaysia dengan kerjasama pihak JPA, Education Malaysia UK & Ireland dan MARA telah mengadajan jamuan AIdilfitri buat warga pelajar Malaysia yang berada di sekitar UK. Majlis sambutan pada kali ini telah bertempat di Manchester, UK. Warga NMC turut memeriahkan dengan menghadiri majlis tersebut secara berkonvoi.
Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera,
Warga NMC ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Saudara Sani dan Puan June sekeluarga atas kelahiran bayi puteri mereka pada 27 Ogos 2014 yang lalu. Puan June telah selamat melahirkan cahayamata mereka yang kedua di Nottingham City Hospital. Kami dari pihak NMC mendoakan semoga keluarga saudara Sani dilimpahi rezeki yang berlipat kali ganda dan semoga dengan kehadiran cahayamata yang baru ini menambahkan keceriaan kalian sekeluarga. Tahniah sekali lagi daripada kami semua!! Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera. Pasukan bolasepak NMC telah mengadakan latihan di padang Forest Field bagi persediaan menentang pasukan Bolasepak Garuda Indonesia Notts yang akan diadakan pada 31 August 2014. Tidak ketinggalan pemain-pemain turut berlatih permainan tradisional Malaysia iaitu Sepak Raga bulatan.
Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera,
Tahniah diucapkan kepada Dr Nasir & Dr Rina di atas kelahiran bayi lelaki mereka pada 19 Ogos 2014 yang lalu. Ini merupakan cahayamata kedua buat pasangan ini. Pihak HELWA iaitu badan Hal Ehwal Wanita NMC diketuai Pn Ain seperti biasa telah menyediakan jadual memasak untuk ibu yang baharu bersalin. Tahniah sekali lagi diucapkan. |
Bagi warga NMC yang ingin berkongsi berita / pengumuman / informasi terbaru ke laman portal ini, sila hubungi AJK IT NMC seperti yang tertera di muka "Maklumat AJK".
Harap Maklum. |