9 Februari - Amalan gotong royong dan tolong menolong terus segar diamalkan di dalam komuniti warga Malaysia yang menetap di Nottingham. Angin yang bertiup kencang di celahan sinaran mentari tidak menghalang warga NMC untuk turun membantu Tuan Sufri mengangkat barang-barang ke dalam kontena. Sufri yang juga terkenal dengan jolokan Sufri El-Loco bakal pulang ke Malaysia setelah 5 tahun berada di sini.
Saudara Tajul antara yang terawal tiba berkata, amalan gotong royong patut diteruskan kerana ia menjadi satu medium untuk warga NMC berkenalan dan bersilaturrahim. "Inilah salah satu tempat dimana orang yang baru berpeluang untuk berkenalan dengan orang yang lebih lama menetap disini." Sambungnya sambil meneruskan suapan nasi lemak ke mulutnya. Kesibukan bergelar doktor pakar kanak-kanak tidak menghalang Doktor Cha meluangkan masa untuk sama-sama turun membantu. Walaupun kelihatan agak kepenatan tetapi beliau tetap dilihat bersemangat. Dr. Cha yang juga merupakan antara yang lama menetap di Nottingham turut berkongsi ke pentingan untuk memupuk semangat kerjasama dalam kehidupan bermasyarakat, apatah lagi kita yang hidup di perantauan. "Nilai-nilai hidup sebegini tidak diperoleh didalam kelas tetapi perlu dicari di dalam universiti kehidupan." Katanya sambil berkongsi tentang falsafah hidupnya iaitu 'Erti Hidup Pada Memberi'. Kelibat Tuan Rufaizal juga dapat dilihat antara yang terawal tiba 122 Forster Street. Di khabarkan beliau telah membatalkan satu appointment yang dijadualkan pada hari tersebut kerana tidak ingin melepaskan peluang untuk turut sama membantu Saudara Sufri. Sementara itu Pian, rakan rumah Sufri kelihatan agak sugul kerana mungkin memikirkan dirinya yang bakal berpisah dengan Sufri tidak lama lagi. Walaubagaimanapun, perasaan sedih beliau kelihatan sedikit terubat dengan kehadiran dan celoteh warga NMC yang datang membantu. Jawatankuasa NMC juga turut rasa gembira dengan semangat kerjasama yang ditunjukkan oleh warga NMC dan berharap budayasebegini akan berterusan dan berkekalan. Laporan oleh: Unit Kebajikan & Penempatan NMC
1 Comment
|
Bagi warga NMC yang ingin berkongsi berita / pengumuman / informasi terbaru ke laman portal ini, sila hubungi AJK IT NMC seperti yang tertera di muka "Maklumat AJK".
Harap Maklum. |