Assalamualaikum & salam Ramadhan,
Pada 28 Jun 2014, bersamaan malam 1 Ramadhan 1435 hijrah, telah diadakan satu majlis solat Isyak dan Tarawih secara berjemaah untuk para warga Malaysia yang berada di bumi Nottingham. Majlis yang berlangsung di surau Jubilee Campus, University of Nottingham tersebut telah mendapat sambutan yang begitu menggalakkan. Walaupun jauh di perantauan dan jauh dari pangkuan keluarga, sekurang-kurangnya majlis tersebut dapat mengubati rasa rindu kami akan suasana menyambut Ramadhan di tanahair tercinta. Semua warga NMC sudah seakan-akan sebuah keluarga, sama-sama berkongsi suka-duka dan saling bantu-membantu antara satu sama lain. Majlis dimulakan dengan solat Isyak dan disusuli dengan solat Tarawih & Witir secara berjemaah. Selepas itu, para jemaah menjamu selera dengan sedikit jamuan moreh yang disediakan oleh para ahli NMC sendiri secara potluck dan masing-masing mengambil peluang tersebut untuk berkongsi cerita dan pengalaman masing-masing menjelang bulan Ramadhan yang mulia ini. Kami dari pihak NMC ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada sahabat-sahabat yang sudi hadir untuk memeriahkan majlis pada malam ini. Kepada yang tidak berkesempatan untuk hadir pada malam ini, kita akan adakan lagi majlis seperti ini pada minggu hadapan, dan hebahan kan dibuat pada sedikit masa lagi. Selamat menjalani ibadah puasa dan semoga berjumpa lagi.
1 Comment
Assalamualaikum dan salam sejahtera,
Seperti yang kita sedia maklum, seluruh umat Islam terutamanya di United Kingdom akan menyambut kedatangan bulan Ramadhan pada hari Ahad 29 Jun 2014. Sehubungan dengan itu, kami dari pihak NMC ingin mengucapkan Selamat Berpuasa dan Ramadhan Mubarak kepada semua warga Malaysia yang beragama Islam di bumi Nottingham ini. Semoga kita semua dapat menjalankan ibadah puasa dengan sempurna dan dapat meningkatkan amalan-amalan kita yang lain. Semoga kita sama-sama dapat mengeratkan ukhuwah sesama kita dan dapat mengharungi madrasah Ramadhan dengan jayanya. Assalamualaikum & salam sejahtera,
Pada Jumaat 27 Jun 2014, para pencinta badminton NMC telah turun ke John Carrol Leisure Centre untuk sesi latihan badminton terakhir sebelum berehat panjang sepanjang Ramadhan nanti. Walaupun tewas mengejut pada perlawanan persahabatan menentang Naseeb group bulan lalu, para pemain badminton NMC terus bangkit seakan-akan singa yang baru pulih dari kecederaan. Perlawanan persahabatan seterusnya ialah akan menentang pasukan Malaysian Loughborough pada bulan Ogos/September nanti dan diharap para pemain dapat membawa pulang kejayaan yang gemilang. Selepas ini para pemain akan berehat sepanjang bulan Ramadhan dan latihan akan disambung semula selepas Aidilfitri nanti. Selamat maju jaya kami ucapkan kepada pasukan badminton NMC!! Assalamualaikum & salam sejahtera,
Pihak NMC ingin merakamkan ucapan TAHNIAH!! kepada pasangan En. Mohd Anas dan Puan Nur Liyana atas kelahiran cahaya mata mereka yang pertama. Puan Nur Liyana telah selamat melahirkan seorang bayi lelaki pada pukul 6.25 pagi, Jumaat 20 Jun 2014 di Queen's Medical Centre, Nottingham. Semoga dengan kehadiran cahayamata yang pertama ini akan menambahkan lagi keceriaan rumahtangga kalian berdua. Kami doakan agar keluarga anda terus dimurahkan rezeki dan dilimpahi kebahagiaan di dunia dan akhirat, amin.. Assalamualaikum dan salam sejahtera,
Pada hari Sabtu 21 Jun 2014 yang lepas, telah berlangsung Siri Akhir Bedah Buku "Saat Berharga Untuk Anak Kita" bersama Puan Asma' Abdul Aziz anjuran bersama IKRAM dan Helwa NMC di teratak warga Helwa kita, Puan Shiera Shushieka Ghazali. Terima kasih diucapkan kepada warga Helwa yang sudi meluangkan masa untuk bukan sahaja menimba ilmu tentang tips-tips mendidik anak-anak, tetapi berkongsi idea dan pengalaman masing-masing dalam membesarkan anak-anak supaya mereka mampu mencapai objektif utama dalam kehidupan di dunia dan di akhirat kelak. Semoga kita berjumpa lagi di sesi seterusnya, inshaAllah. p/s: Tahniah kepada Puan Erni Marlina yang menerima hadiah untuk soalan terkumpul pada kali ini. Assalamualaikum dan salam sejahtera,
Pada tanggal 24 Mei 2014, telah diadakan Sesi Bedah Buku "Saat Berharga Untuk Anak Kita" oleh Puan Asma' Abdul Aziz anjuran bersama IKRAM dan HELWA, bertempat di rumah Kak G. Semoga semua warga HELWA yang hadir pada majlis tersebut mendapat manfaat daripada sesi tersebut. Semoga kita semua menjadi ibu2 cemerlang buat anak-anak kita, di dunia dan di akhirat, inshaAllah. Assalamualaikum dan salam sejahtera,
Pada 14 Jun 2014, telah diadakan Mega Nottingham Malaysian Family Day bertempat di Radford Primary School Nottingham. Acara tersebut adalah hasil kerjasama antara Nottingham Malaysian Community (NMC), Nottingham Malaysian Society (NMS), Nottingham Trent University Malaysian Society (NTUMS), Kelab UMNO Nottingham (KUN) dan Education Malaysia. Majlis tahunan tersebut telah dihadiri oleh Assoc. Prof. Dr. Mohad Anizu Hj Mohd Nor, Pengarah Education Malaysia UK & Ireland, dan En. Taufik Ahmad, Education Attache Education Malaysia untuk Midlands UK. Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan daripada pengarah program dan program dirasmikan oleh Assoc. Prof. Dr. Mohad Anizu. Majlis diteruskan dengan satu sesi ceramah ringkas mengenai seni fotografi oleh saudara Zulhelmy (Ming) dan kemudian disusuli dengan pertunjukan fesyen oleh anak-anak ahli NMC. Pelbagai ragam dan fesyen telah dipertontonkan dan akhirnya gelaran juara diraih oleh anak saudara Arman dengan tema Lego-man. Majlis selepas itu diserikan dengan persembahan nyanyian oleh Pakli and the gang. Majlis diteruskan dengan acara sukaneka untuk golongan dewasa dan kanak-kanak. Pada masa yang sama, para hadirin juga menjamu selera dengan jamuan makan tengahari yang disediakan oleh chef-chef NMC sendiri. Kambing dan ayam barbeque juga disediakan untuk para pengunjung. Majlis sukaneka telah mendapat sambutan yang hangat, dan acara tersebut juga disertai oleh Assoc. Prof. Dr. Anizu dan En. Taufik sendiri. Pada pukul 3.00 petang, majlis penyampaian hadiah dan penutup telah diadakan. Kami dari pihak NMC ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Assoc. Prof. Dr. Anizu, En. Taufik, pihak penganjur dan semua ahli NMC yang sama-sama hadir memeriahkan acara tersebut. Semoga acara tersebut dapat diteruskan pada tahun-tahun yang akan datang. Assalamualaikum dan salam sejahtera,
Pada 8 Jun 2014, telah diadakan pesta sukaneka KAFA Lil' Calph dan majlis penghargaan untuk tenaga pengajar yang terdiri daripada adik-adik undergraduate. Acara yang bertempat di University Park, University of Nottingham itu telah dimulakan pada pukul 10 pagi. Dalam keadaan cuaca yang amat baik, para ahli dan anak-anak NMC telah memberikan sambutan yang begitu menggalakkan. Acara dimulakan dengan sukaneka, di mana para peserta begitu bersemangat untuk memenangi acara yang dipertandingkan. Para peserta dibahagikan kepada beberapa kumpulan iaitu kumpulan merah, kuning, biru dan hijau. Acara-acara yang dipertandingkan seperti bawa bola pingpong dalam sudu, lari tali skipping, lari bawa baton. cari gula-gula dalam tepung dan sebagainya telah mendapat persaingan sengit daripada setiap kumpulam yang bertanding. Acara sukaneka berakhir pada pukul 12 tengahari dan disusuli dengan acara penyampaian hadiah kepada para peserta dan diikuti dengan pemberian cenderamata kepada adik-adik undergraduate yang selama ini menjadi sukarelawan sebagai tenaga pengajar di KAFA berkenaan. Kami daripada pihak NMC ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada para tenaga pengajar yang selama ini menjadi tulang belakang kepada KAFA itu sendiri. Segala jasa anda semua mendidik anak-anak kami amatlah besar nilainya dan hanya Allah yang mampu membalas segala jasa baik kalian. Assalamualaikum dan salam sejahtera,
Pada 7 Jun 2014, telah diadakan sesi gotong-royong mengangkat barang ke dalam kontena sempena keberangkatan pulang Dr. Dasuki sekeluarga ke tanahair. Majlis dimulakan pada pukul 8.30 pagi dengan sarapan pagi untuk mengumpul tenaga untuk acara seterusnya. Selepas itu, para ahli NMC bersama-sama membantu mengangkat baran-barang ke dalam kontena. Setelah memerah keringat mengangkat barang-barang tersebut, akhirnya kontena tersebut dapat dipenuhkan sebelum pukul 12 tengahari. Acara kemuncak ialah makan tengahari, yang disediakan oleh chef-chef pakar daripada kaum-kaum ibu NMC sendiri. Kami dari pihak NMC ingin mengucapkan selamat berangkat pulang dan selamat maju jaya kepada Dr. Dasuki sekeluarga. semoga kita berjumpa lagi!! Assalamualaikum dan salam sejahtera,
Kami dari pihak NMC ingin mengucapkan selamat datang kepada warga baru NMC ke Nottingham iaitu En. Jefri dan Puan Elissa Nadia sekeluarga. Mereka telah tiba di bumi Nottingham pada penghujung bulan Mei 2014 dan kini menetap di kawasan Radford, Nottingham. Puan Elissa akan menyambung pelajarannya di peringkat PhD di Jubilee Campus, University of Nottingham. Kami amat mengalu-alukan kedatangan En. Jefri sekeluarga dan semoga ukhuwah yang terjalin di kalangan ahli kita semakin erat. Selamat datang sekali lagi kepada anda sekeluarga!! |
Bagi warga NMC yang ingin berkongsi berita / pengumuman / informasi terbaru ke laman portal ini, sila hubungi AJK IT NMC seperti yang tertera di muka "Maklumat AJK".
Harap Maklum. |