Warga NMC yang dihormati sekalian. Pihak NMC ingin menjemput Tuan/Puan sekeluarga menyertai Program "Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri 2011/1432 H" pada hari Ahad ( 4 September 2011 ) Syawal 1432 H.Tujuan program adalah untuk memupuk ukhuwah dan merapatkan tali silaturahim di kalangan warga NMC di samping memeriahkan lagi sambutan Aidilfitri tahun ini. Pelbagai juadah menarik “secara potluck terancang”(akan diberitahu kelak) akan kami sediakan. Antaranya: Nasi Warna-Warni, kurma daging, pajeri terung, ayam masak merah, nasi impit, kuah kacang, rendang ayam, lontong dll. Persembahan Nasyid oleh warga cilik NMC dan sesi fotografi juga bakal menanti anda. Bagi yang ingin mendaftar keahlian baru / membuat bayaran yuran tahunan NMC, kami juga akan membuka kaunter kutipan yuran pada majlis tersebut. Semoga penglibatan/kehadiran/sumbangan Tuan/Puan sekeluarga akan memeriahkan lagi majlis seterusnya mendapat balasan rahmat serta kemurahan rezeki dari Allah SWT, InsyaAllah. disediakan oleh: MHY
7 Comments
Bagi menyambut kedatangan Ramadhan tahun ini, pihak NMC telah menganjurkan Program "Iftar & Ramadhan Get Together" pada hari Sabtu Pertama dan Ketiga ( 6 dan 20 Ogos 2011 ) Ramadhan 1432 H. Program yang dijalankan sebanyak 2 sesi ini bertujuan untuk memupuk ukhuwah dan merapatkan tali silaturahim di kalangan warga NMC di samping mengimarahkan lagi bulan Ramadhan yang penuh keberkatan tahun ini. Hampir semua warga NMC yang beragama Islam hadir pada kedua-dua sesi Iftar yang dijalankan. Majlis dimulakan dengan pengisian Ramadhan yang disampaikan oleh Ust Aririe (Iftar 1) dan Ust Dr. Amali (Iftar 2). Intipati yang disampaikan oleh kedua-dua penceramah antara lain mengajak pendengar agar bersama menghayati Ramadan dengan memperbanyakkan amalan soleh seperti membaca Al-Quran,berzikir,bertadarus,berterawi dan sebagainya. Kupasan mendalam tentang fadhilat berpuasa turut disampaikan oleh oleh kedua-dua penceramah. Sejurus selepas azan Maghrib berkumandang, tetamu-tetamu yang hadir kemudiannya dihidangkan dengan tamar, kuih dan buah-buahan sebagai pengalas perut. Solat maghrib secara berjemaah kemudiannya dilaksanakan diikuti dengan iftar beramai-ramai di kalangan warga NMC. Pelbagai hidangan enak telah disediakan hasil sumbangan warga NMC. Antaranya nasi tomato, ayam goreng berempah, ayam masak merah, kari daging dan sebagainya. Bagi membantu warga NMC memenuhi rukun Islam yang ke-4, kaunter pungutan zakat turut disediakan oleh wakil NMC. Hasil pungutan zakat ini akan diserahkan kepada amil bertauliah/disedekahkan kepada masjid dan orang-orang yang berhak mengikut ketentuan yang telah ditetapkan dalam Islam. Kaunter kutipan yuran keahlian turut dibuka semasa majlis Iftar berlangsung. Hasil kutipan yuran ini antara lain akan digunakan untuk menampung aktiviti-aktiviti yang bakal dijalankan NMC sepanjang tahun dalam usaha untuk memastikan suasana ceria dan harmoni dikekalkan di kalangan warga NMC sepanjang berada di Nottingham. Majlis turut diserikan dengan dendangan nasyid oleh warga cilik NMC. Tetamu-tetamu yang hadir nyata tidak kering gusi melihat telatah warga cilik NMC di pentas yang comel menggayakan aksi sepanjang lagu dimainkan. Selain itu, ucapan perpisahan turut disampaikan oleh Sdr Effendi sempena keberangkatan pulang beliau sekeluarga ke tanahair selepas menamatkan pengajian masing-masing di Nottingham. Majlis diakhiri dengan gotong-royong membersihkan dewan dan sesi fotografi beramai-ramai. إِنَّ لِلصَّائِمِ عِنْدَ فِطْرِهِ لَدَعْوَةً مَا تُرَدُّ. “Sesungguhnya bagi orang berpuasa itu, do`a yang tidak ditolak ketika dia berbuka.” disediakan oleh : MHY
Pagi 6 Ramadhan 1432H menyaksikan kepulangan Sdr Wan Mohd Kamil sekeluarga ke tanah air. Cuaca mendung dgn suhu yang agak dingin tidak menghalang ramai sahabat yang hadhir di rumah beliau untuk mengucapkan selamat. WMK sekeluarga telah sempat meninggalkan banyak barang-barang yang boleh digunakan oleh ahli NMC yang tinggal. Dalam ucapan ringkas beliau menyampaikan terima kasih kepada semua yang membantu beliau dan berharap persahabatan yang terjalin sepanjang menetap di bumi Nottingham akan berterusan di bumi Malaysia. Sekitar jam 10.45 pagi, dua kenderaan yang membawa beliau sekeluarga, dipandu oleh Sdr Masrul dan Sdr Hasrun, meninggalkan 159 Burford Road menuju ke Birmingham International Airport. Seluruh warga NMC mengucapkan terima kasih, selamat berangkat dan Selamt Maju Jaya kepada WMK sekeluarga. Sehingga bertemu lagi di masa hadapan, InsyaAllah.
Warga NMC yang dihormati sekalian. Pihak NMC ingin menjemput Tuan/Puan sekeluarga menyertai Program "Iftar & Ramadhan Get Together" pada hari Sabtu Pertama dan Ketiga ( 6 dan 20 Ogos 2011 ) Ramadhan 1432 H. Tujuan program adalah untuk memupuk ukhuwah dan merapatkan tali silaturahim di kalangan warga NMC di samping mengimarahkan lagi bulan Ramadhan yang penuh keberkatan tahun ini. Bersama-sama ini dilampirkan poster hebahan Program "Iftar & Ramadhan Get Together". Bagi mana-mana pihak yang ingin memberikan sumbangan makanan (pot luck) semasa program tersebut sangat dialu-alukan. Selamat beribadah puasa Ramadhan. Semoga kita semua diberikan kekuatan & keberkatan menjalaninya. disediakan oleh: MHY
|
Bagi warga NMC yang ingin berkongsi berita / pengumuman / informasi terbaru ke laman portal ini, sila hubungi AJK IT NMC seperti yang tertera di muka "Maklumat AJK".
Harap Maklum. |