Assalamualaikum dan salam sejahtera,
Pada hari Isnin 28/7/2014 bersamaan 1 Syawal 1435H, telah diadakan Majlis Solat Sunat Aidilfitri bertempat di dewan Radford Primary School, Nottingham. Majlis dimulakan pada pukul 9.15 pagi dengan alunan takbir oleh warga NMC dan diikuti dengan solat sunat Aidilfitri pada pukul 9.40 pagi yang diimamkan oleh saudara Mohd Hafiz Abu Hasan. Selesai solat, para jemaah mendengar khutbah Aidilfitri yang disampaikan oleh saudara Hafiz, yang antaranya menyentuh mengenai betapa pentingnya semangat perpaduan di kalangan umat Islam. Setelah selesai khutbah, para hadirin mengambil kesempatan untuk beramah-mesra, bermaaf-maafan disamping menikmati juadah yang dibawa sendiri oleh warga NMC seperti nasi impit, pulut kuning, rendang, kuah kacang, lontong dan biskut raya. Walaupun berjauhan dari tanahair, sambutan Aidilfitri di bumi Nottingham ini tetap meriah dan sekurang-kurangnya majlis seperti ini dapat mengurangkan rasa rindu kami pada sanak-saudara di Malaysia. Warga NMC sudah seakan-akan satu keluarga yang besar dan diharap perpaduan yang sudah terjalin di kalangan kita akan lebih erat selepas ini. Terima kasih diucapkan kepada semua yang hadir. P/s: Jurugambar: Mohd Zulhelmy @ Mohd Ming
0 Comments
Assalamualaikum & salam sejahtera,
Education Malaysia UK & Ireland melalui Central Mosque London telah mengumumkan bahawa tarikh Hari Raya Aidilfitri untuk seluruh United Kingdom pada tahun ini jatuh pada hari Isnin 28 Julai 2014. Sehubungan dengan itu, kami daripada pihak NMC ingin mengucapkan Taqabbalallahu Minna wa Minkum, Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh warga NMC yang beragama Islam dan kami ingin memohon ampun dan maaf sekiranya ada salah dan silap sepanjang kami mengendalikan NMC pada sesi ini. Kami ingin menjemput semua untuk menghadiri majlis sambutan Aidilfitri seperti berikut: 1) Majlis Takbir Raya Aidilfitri - Ahad 27/7/2014 (malam raya) -Surau Jubilee Campus, University of Nottingham -selepas solat fardhu Isyak berjemaah 2) Majlis Solat Sunat Aidilfitri: - Isnin 28/7/2014 -Radford Primary School -pukul 9:30 pagi (takbir Hari Raya pada 9:15 pagi) 3) Majlis Tautan Aidilfitri NMC - Sabtu 2/8/2014 -Radford Primary School -10:00 pagi - 1:00 tengahari Jumpa anda semua di sana!! Assalamualaikum & salam sejahtera,
InshaAllah, NMC akan menganjurkan Majlis Solat Sunat Aidilfitri pada pagi Hari Raya Aidilfitri minggu hadapan. Butiran adalah seperti berikut: Tarikh: 1 Syawal 1435H Tempat: Radford Primary School (Isnin- 28/7) ATAU Dunkirk Community Centre (Selasa- 29/7) Tentatif Majlis: 9:15 am: Ketibaan para hadirin & Takbir Hari Raya 9:30 am: Solat Hari Raya Aidilfitri 9:45 am: Khutbah Aidilfitri 10:15 am: Jamuan (potluck) 11:45 am: Majlis bersurai *Sila bawa sejadah masing-masing Kami daripada pihak NMC dengan berbesar hati menjemput sahabat-sahabat semua untuk sama-sama hadir bagi mengimarahkan majlis tersebut. Semoga dengan kehadiran sahabat-sahabat semua akan memeriahkan lagi sambutan Hari Raya Aidilfitri di bumi Nottingham ini. Jumpa anda semua di sana!! Assalamualaikum & salam sejahtera,
Alhamdulillah, majlis iftar NMC pada tahun ini telah berjaya diadakan pada hari Jumaat, 11 Julai 2014 bersamaan 13 Ramadhan 1435 Hijrah di Jubilee Campus, University of Nottingham. Majlis yang bermula pada pukul 8.00 malam tersebut dimulakan dengan sesi tadarus Al-Quran oleh para warga NMC. Majlis diserikan lagi dengan kehadiran En. Taufik, attache Education Malaysia untuk Midlands dan Scotland sekeluarga. Semua makanan disediakan oleh chef-chef yang terdiri daripada warga Helwa NMC sendiri. Sekalung penghargaan untuk para warga Helwa yang bertungkus-lumus menyediakan segala juadah berbuka puasa untuk para hadirin. Pada masa yang sama, para hadirin juga mengambil kesempatan untuk melaksanakan zakat fitrah untuk tahun ini melalui para amil yang dilantik iaitu saudara Harris dan saudara Hilmi. Tepat pukul 9.30 malam, azan maghrib telah dikumandangkan dan para hadirin berbuka puasa secara ringkas di surau. Kemudian, para hadirin bersama-sama mendirikan solat fardhu maghrib secara berjemaah dan kemudian turun ke perkarangan Amenities Building, Jubilee Campus untuk menikmati jamuan makan malam. Pelbagai juadah disediakan antaranya nasi putih bersama daging masak lada hitam, kari daging, ayam goreng, ayam masak merah, ayam masak madu, ayam goreng berempah, sayur campur goreng, pulut kuning dan nasi goreng. Kuih-kuih melayu antaranya kuih ketayap, seri ayu, onde-onde dan puding buah juga dihidangkan bersama aiskrim, buah-buahan dan air sirap bandung. Sambil menikmati juadah makan malam, para hadirin juga mengambil peluang bertanya khabar dan bertukar-tukar cerita antara satu sama lain. Pada pukul 11.00 malam, para hadirin masuk semula ke surau untuk mendengar tazkirah Ramadhan yang disampaikan oleh En. Taufik sendiri dan antara intipati tazkirah tersebut ialah bagaimana pentingnya kita sebagai umat Islam untuk menjaga akhlak, tatasusila dan pertuturan kita sebagaimana yang telah gariskan oleh Al-Quran dan As-sunnah. Selain itu, kita haruslah memperbanyakkan berdoa untuk kejayaan pejuang-pejuang Islam terutamanya di Palestin yang kini menghadapi saat-saat yang sukar. Selepas itu, para hadirin menunaikan solat fardhu Isyak dan sunat tarawih secara berjemaah. Setelah selesai solat, para hadirin dihidangkan pula dengan sedikit jamuan moreh. Juadah yang disediakan antaranya sandwich telur berkeju, roti 'john' dan samosa telah mendapat sambutan ramai di samping air teh 'O dan kopi susu panas. Sementara menikmati jamuan moreh, para hadirin sekali lagi tidak melepaskan peluang untuk berramah-mesra antara satu sama lain. Majlis bersurai pada kira-kira pukul 1.00 pagi dan kami dari pihak NMC ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada En. Taufik sekeluarga dan sahabat-sahabat yang sudi hadir bagi memeriahkan majlis iftar pada kali ini. P/s: Terima kasih kepada jurugambar- Saudara Zulhelmy@Ming Assalamualaikum & salam sejahtera,
Kami dari pihak NMC ingin mengucapkan selamat datang kepada En. Fazrul Haizam Abdullah dan Puan Mazliana Ahmad Kamarudin sekeluarga ke bumi Nottingham. Puan Mazliana akan melanjutkan pelajaran di peringkat post-doctoral di Physic Department, University Park, University of Nottingham. Mereka bersama 3 org anak telah tiba di Nottingham pada pertengahan bulan Jun 2014 yang lalu dan kini menetap di kawasan Beeston. Kami amat mengalu-alukan ketibaan anda sekeluarga dan semoga ukhuwah yang terjalin dikalangan kita semakin erat selepas ini. Selamat datang sekali lagi untuk En. Fazrul sekeluarga!! Assalamualaikum dan selamat sejahtera.
Pada tahun ini 2014/1435H zakat fitrah telah ditetapkan sebanyak £4 seorang dan pembayaran bolehlah dibuat kepada amil iaitu Saudara Haris atau Saudara Hilmi di sepanjang bulan Ramadhan ini. Bayaran juga boleh dibuat selepas solat maghrib 11 Julai 2014 bersempena Majlis Iftar Perdana Nottingham Malaysian Community. Sebarang pertanyaan bolehlah diajukan kepada kedua-dua saudara di atas. Semoga ibadah kita ini mendapat keberkatan dan keredaan daripada-Nya. Amin. Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera. Selamat berangkat pulang buat 3 rakan NMC yang telah menamatkan kursus pendakwaraya. Semoga ilmu yang dipelajari dapat digunakan sebaik mungkin di Malaysia nanti. Kami dari pihak NMC mengucapkan selamat maju jaya kepada semua.
Assalamualaikum dan Selamat sejahtera. Pada bulan Jun yang lepas telah diadakan program Pengisian ilmu anjuran Biro kerohanian NMC. Pada kali ini tazkirah telah disampaikan oleh Tuan Azeezi dengan kupasan daripada Hadis 40 Imam Nawawi. Sesi dimulakan dengan solat maghrib secara berjemaah,taaruf antara warga NMC yang hadir dan pengenalan kepada Imam Nawawi.Hadis yang ke 17 telah dipilih dan dikupas secara mendalam oleh Tuan Azeezi. Antara intipati hadis ini termasuklah umat Islam perlu sentiasa bersedia dan melakukan sebarang kerja dengan bersungguh-sungguh dan sempurna. Ini juga merupakan PI terakhir bagi Tuan Azeezi sebelum berangkat pulang ke Malaysia. Semoga rakan-rakan NMC dapat mengambil manfaat daripada intipati yang diberi.
Assalamualaikum & salam sejahtera,
Untuk makluman sahabat-sahabat semua, NMC akan menganjurkan Majlis Iftar sempena bulan Ramadhan 1435H. Butiran adalah seperti berikut: Tarikh: 11 Julai 2014 bersamaan 13 ramadhan 1435H (Jumaat) Masa: 8:00 pm - 12:00 am Tempat: Amenities Building, Jubilee Campus, University of Nottingham UK Tentatif program: 8:00 mlm - 8:15 mlm: Ketibaan para hadirin & hadirat 8:15 mlm - 9.28 mlm: Sesi Tadarus Al-Quran/ sesi bayaran zakat fitrah boleh dibuat kepada saudara Haris atau Hilmi dengan bayaran £4 seorang. 9.28 mlm - 9.35 mlm: Berbuka puasa (surau) 9:35 mlm - 9.50 mlm: Solat fardhu Maghrib berjemaah 9:50 mlm - 10.45 mlm: Makan malam (ruang makan) 10:45 mlm - 11.00 mlm: Persiapan untuk sesi tazkirah 11:00 mlm - 11:20 mlm: Tazkirah Ramadhan- En. Taufik Ahmad (Education Attache for Midlands & Scotland) 11:20 mlm - 11:30 mlm: Solat fardhu Isyak berjemaah 11:30 mlm - 11.45 mlm: Solat sunat Tarawih berjemaah 11:45 mlm - 12:00 tgh mlm: Moreh & selesai majlis Sahabat-sahabat semua adalah dijemput untuk sama-sama hadir ke majlis tersebut. Jumpa anda di sana!! Assalamualaikum & selamat berpuasa kepada semua,
Sesi tadarus Al-Quran untuk muslimin sepanjang bulan Ramadhan ini akan diadakan pada setiap hari Isnin hingga Khamis, di surau Jubilee Campus, University of Nottingham pada pukul 1.30pm-2.00pm (selepas solat Zuhur berjemaah). Kepada muslimin yang berkelapangan, anda semua dijemput untuk mengimarahkan majlis tadarus tersebut. Sama-samalah kita memperbanyakkan bacaan Al-Quran terutamanya sepanjang bulan Ramadhan ini. Semoga Allah memberkati segala amalan kita, inshaAllah. P/s: Untuk yang tidak berkesempatan untuk hadir, sesi ini juga akan diadakan pada hari Sabtu pada waktu yang sama- mengikut kesesuaian. Sila berhubung dengan Tuan Hj. Azlan & En. Hafiz mendapatkan info mengenai sesi pada hari Sabtu. Sesi Tadarus Al-Qur'an untuk muslimat sempena bulan Ramadhan pada tahun 1435H berlangsung di tiga kawasan serentak: Radford, Forest Fields & Stoke. Sesi tadarus ini adalah anjuran bersama STAR for Moms (Kelolaan Hajjah Dr. Nik Nik Dan Azlan), Helwa NMC dan Warga Malaysia di Stoke. Selain bertasmi', ada juga diadakan sesi Tajwid bagi membantu warga Helwa memperbaiki mutu bacaan Al-Qur'an. Ketua-ketua kawasan terdiri daripada Dr. Anis Fozi (Radford), Dr. Asma' Abdul Aziz (Forest Fields) & Puan Fiza Noor Awang (Stoke). Semoga kita berjaya mencapai objektif dalam menghabiskan bacaan kesemua 30 juzu' (Khatam Al-Qur'an). Ameen.
Kepada semua muslimat, anda dijemput untuk sama-sama mengimarahkan majlis tersebut. Sila berhubung dengan ketua kawasan masing-masing untuk mendapatkan informasi mengenai tempat dan masa. |
Bagi warga NMC yang ingin berkongsi berita / pengumuman / informasi terbaru ke laman portal ini, sila hubungi AJK IT NMC seperti yang tertera di muka "Maklumat AJK".
Harap Maklum. |