Assalamualaikum & salam sejahtera,
Pada hari Selasa 25 November 2014, telah diadakan sesi Pengisian Ilmu (PI) anjuran Biro Kerohanian NMC bertempat di rumah saudara Shah Norwawi. Sesi yang bermula pada pukul 8 malam tersebut mendapat sambutan yang agak menggalakkan daripada warga lelaki NMC. Sesi dimulakan dengan sedikit perkongsian ilmu oleh saudari Harris Arisyi yang mengulas mengenai konsep 'Nasihat' dalam Islam. Antara intipati perkongsian beliau ialah bagaimana pentingnya ingat-mengingati di antara satu sama lain, cara-cara memberi nasihat yang berkesan dan bagaimana sikap yang patut diamalkan oleh orang yang memberi dan menerima nasihat. Selepas itu, acara diteruskan dengan sesi taaruf oleh ahli-ahli NMC yang baru tiba di bumi Nottingham. Para warga baru mengambil giliran memperkenalkan diri masing-masing. Selesai taaruf, para warga yang hadir berbincang mengenai beberapa topik bebas dan kemuncak acara ialah sedikit jamuan minum malam yang disediakan secara 'potluck' oleh warga NMC yang hadir. Semoga para warga NMC yang hadir mendapat manfaat daripada sesi PI pada kali ini. Semoga kita berjumpa lagi pada sesi PI yang seterusnya.
0 Comments
Assalamualaikum dan salam sejahtera,
Sempena keberangkatan pulang salah seorang ikon sukan NMC, saudara Azam Mohd Said dan keluarga ke tanahair tidak lama lagi, NMC telah menganjurkan sesi sepaktakraw dan badminton kali terakhir bersama beliau. Acara tersebut telah berlangsung di Dewan Noel Street pada Khamis 13 November 2014 (sepaktakraw) dan Khamis 20 November 2014 (badminton). Kedua-dua acara tersebut telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada warga lelaki NMC yang datang untuk sama-sama bermain dan beramah mesra. Pihak NMC ingin mengucapkan selamat berangkat pulang dan selamat maju jaya kepada Azam sekeluarga. Semoga kita sama-sama dapat bersukan lagi di tanahair nanti. Assalamualaikum dan salam sejahtera,
Pihak NMC ingin merakamkan setinggi-tinggi ucapan tahniah kepada pasangan suami isteri: Mohd Hafiz Baharuddin dan Nur Mustakiza kerana telah berjaya mengharumkan nama NMC atas kejayaan menggondol pingat emas dalam acara bergu campuran Badminton sempena Leeds Malaysian Singapore Society (MASSoc)Games 2014 pada hari Sabtu 8 November 2014 yang lalu. Kejohanan yang mendapat penyertaan daripada pelajar Malaysia di seluruh United Kingdom itu merangkumi sukan-sukan lain seperti Futsal, Bola Keranjang dan Frisbee. Acara bergu campuran badminton yang berlangsung di The Edge Sports Complex, University of Leeds tersebut bermula kira-kira pukul 10 pagi dan pasangan Hafiz & Mustakiza telah berjaya melepasi peringkat suku akhir dan separuh akhir dengan kemenangan ‘straight set’. Dalam perlawanan akhir, wakil NMC ini telah bertemu dengan pasangan tuan rumah dan akhirnya kemenangan berpihak kepada Hafiz & Mustakiza juga dengan keputusan ‘straight set’ 21-12, 21-14. Selain itu, para pemain badminton undergraduates daripada Nottingham Malaysia Society (NMS) juga telah berjaya membawa pulang satu pingat emas dan perak dalam acara bergu lelaki; dan pingat gangsa melalui acara perseorangan lelaki. Kami daripada pihak NMC ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Hafiz & Mustakiza atas kejayaan yang amat membanggakan ini. Semoga lebih ramai wakil daripada NMC yang bakal menyinar dalam kejohanan-kejohanan luar yang akan datang. Assalamualaikum dan salam sejahtera, Pada hari Ahad 9 November 2014, telah diadakan acara terakhir NMC Games 2014 iaitu Tennis lelaki. Oleh kerana keadaan cuaca yang kurang mengizinkan, acara yang pada mulanya dirancang di buat di gelanggang tennis Jubilee Campus terpaksa ditukarkan ke dewan Noel Street dan dimainkan secara ‘indoor’. Perlawanan yang dibuat secara santai itu juga menarik ramai penonton daripada warga NMC. Bergu pertama dimulakan sebaik sahaja gelanggang disediakan. NMC Tigers menurunkan saudara Hilmi dan Pak Din manakala NMC Lions pula membariskan saudara Azam dan Haji Azlan. Setiap pasukan bermain dangan agak berhati-hati memandangkan keadaan dewan yang agak terhad dan kawasan penonton yang agak hampir dengan gelanggang. Namun ia tidak menghalang para pemain untuk mempamerkan aksi-aksi yang menarik. Perlawanan yang sengit itu berlanjutan sehingga ke ‘rubber set’. Namun oleh kerana masa yang agak terhad, para pemain memberi laluan kepada pemain yang sepatutnya bermain untuk bergu kedua untuk meneruskan aksi set terakhir dan secara langsung hanya satu perlawanan sahaja diadakan pada malam tersebut. Pada set ketiga, NMC Tigers menurunkan saudara Arman dan saudara Saadon, manakala NMC Lions membariskan saudara Harizal dan saudara Helmi Ali. Keputusan penuh perlawanan: NMC Tigers telah menang dengan mata 6-3, 1-6 dan 6-1. Seusai perlawanan, pengerusi pengelola NMC Games 2014 telah dengan rasminya membubarkan kedua-dua pasukan: NMC Tigers dan NMC Lions. Selepas itu, semua warga NMC yang hadir telah sama-sama berselawat dan bersalam-salaman sebagai simbolik berakhirnya saingan NMC Games 2014. Sebelum bersurai, para hadirin bersama-sama menikmati sedikit jamuan yang disediakan secara ‘potluck’ dan secara rasminya NMC Games 2014 telah melabuhkan tirainya. Pihak penganjur ingin mengucapkan setinggi-tinggi perhargaan kepada semua ahli jawatankuasa yang terlibat secara langsung dalam melicinkan perjalanan setiap acara. Penganjur juga ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua warga NMC kerana sudi meluangkan masa mengambil bahagian dan memeriahkan setiap acara sepanjang NMC Games berlangsung.
Semoga kita berjumpa lagi pada kejohanan NMC Games 2015!! Assalamualaikum dan salam sejahtera,
Pada hari sabtu 8 November 2014, telah berlangsung perlawanan Bowling sempena NMC Games 2014. Perlawanan yang berlangsung di MFA Bowl Nottingham City Centre itu mendapat sambutan yang amat menggalakkan. Seramai hampir 40 warga NMC mengambil bahagian mewakili pasukan masing-masing: NMC Tiger dan NMC Lions. Perlawanan bermula kira-kira pukul 12.45pm, dan dijalankan dalam format 2 game seorang. 10 lanes telah ditempah dan seramai 3-4 pemain ditempatkan pada setiap lane. Mata keseluruhan pasukan dikira dan diambil daripada 8 pemain yang mendapat mata tertinggi daripada setiap pasukan (4 lelaki & 4 wanita). Para pemain telah mempamerkan kemahiran masing-masing dan menunjukkan semangat kesukanan yang tinggi sepanjang perlawanan berlangsung. Berikut adalah keputusan penuh perlawanan: NMC Tigers: 1876 mata NMC Lions: 1728 mata Dengan itu, NMC Tigers telah diumumkan sebagai pemenang dan sekaligus dinobatkan sebagai Juara keseluruhan NMC Games 2014. Pihak penganjur ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang mengambil bahagian dan juga kepada semua yang sudi hadir untuk memeriahkan acara Bowling pada hari tersebut. Semoga berjumpa lagi pada acara seterusnya. Pada 2 November 2014 telah diadakan perlawanan bola tampar antara pasukan NMC Lions menentang NMC Tigers bertempat di dewan serbaguna Noel Street. Perlawanan ini melibatkan pasukan lelaki dan wanita. Tepat jam 6.30 ptg para peserta bersama penyokong pasukan masing-masing telah berkumpul dihadapan dewan ini. Pada jam 6.45ptg dewan telah dibuka dan kedua-dua pasukan mengambil peluang untuk melakukan aksi pemanas badan. Perlawanan dimulakan dengan pasukan wanita NMC Lions menentang NMC Tigers. Kapten kedua-dua pasukan telah dipanggil untuk diberikan sedikit taklimat berkenaan dengan format dan syarat-syarat permainan. Perlawanan kali ini diadili oleh pengadil khas yang dijemput oleh NMC iaitu Dr Farid.
Perlawanan bagi peserta wanita bermula pada jam 7.20 ptg. Pasukan wanita NMC Tigers mendahului dengan 7-0 dan kemudian diikuti rapat oleh pasukan NMC Lions. Kedua-dua pasukan menunjukkan mutu permainan yang cantik dan sering bertukar2 servis. Penyokong pasukan masing-masing turut membantu memriahkan suasana permainan. Penyokong cilik turut serta dengan sorakan yang tersendiri. Akhirnya set pertama dimenangi oleh pasukan NMC Lions dengan keputusan 25-17. Pada set kedua pasukan NMC Lions pula mendahului dengan beberapa mata dan pada satu masa mendahului dengan 23-19. Namun begitu pasukan NMC Tigers kembali bangkit dan menang dengan keputusan 26-24. Perlawanan sengit ini diteruskan dengan perlawanan penentuan di set ketiga. Kedua-dua pasukan mempamerkan aksi -aksi yang medebarkan disamping sorakan daripada kedua-dua pasukan menggamatkan ruang dewan. Akhirnya kemenangan berpihak kepada pasukan NMC Tigers dengan keputusan 15-10. Program diteruskan dengan perlawanan pasukan lelaki. Perlawanan dimulakan pada jam 8.10 mlm. Perlawanan ini merupakan perlawanan yang di tunggu-tunggu oleh kesemua peminat sukan bola tampar NMC. Kedua dua pasukan lelaki NMC Lions dan NMC Tigers dibarisi oleh pemain-pemain yang pernah beraksi diperingkat pemilihan bola tampar NMC. Pada set pertama kedua-dua pasukan bertukar-tukar servis dan seringkali permainan cantik dan rally panjang di pamerkan oleh para pemain. Penyokong kedua-dua pasukan turut berdebar menonton permainan berkelas antarabangsa ini. 'Spike' tajam dan 'setting' menarik daripada setter kedua-dua pasukan menambah debaran dan kesengitan permainan. Akhirnya set pertama dimenangi oleh pasukan NMC Tigers dengan keputusan 25-20. Pada set kedua perlwanan semakin sengit dengan masing-masing ingin memenangi pertandingan dan menambahkan mata pasukan. Akhirnya adat pertandingan ada yang menang dan ada yang kalah. Perlawanan set kedua dimenangi oleh pasukan NMC Tigers dengan keputusan 20-15 dan seterusnya memenangi permainan bola tampar NMC lelaki. Pihak NMC ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pemain dan penyokong yang terlibat dan diharapkan program ini dapat dijadikan platform untuk mencungkil bakat dan merapatkan lagi ukhwah di antara ahli-ahli NMC. Syabas diucapkan kepada semua peserta dan ajk NMC games 2014. Assalamualaikum dan salam sejahtera,
Pada hari Sabtu, 1 November 2014 telah diadakan acara Bolasepak sempena NMC Games 2014 yang berlangsung di padang Astroturf, Forest Recreation Ground, Forest Fields, Nottingham. Acara tersebut mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada warga NMC yang hadir untuk menyaksikan pertembungan epic ala El Clasico di antara NMC Tigers dan NMC Lions. NMC Tigers yang dipimpin oleh kapten Pak Din turun berjersi hitam manakala NMC Lions pula dipimpin oleh kapten Hafiz yang turun berjersi merah. Perlawanan tersebut dikendalikan oleh saudara Hamidi sebagai pengadil; dijalankan dalam format 7 sebelah, 3 sepertiga masa Sebaik sahaja wisel permulaan dituipkan, kedua-dua pasukan telah cuba untuk mendominasi permainan. Dengan keadaan padang astroturf yang agak licin, para pemain kelihatan amat berhati-hati pada babak awal permainan. Walaupun para pemain jarang beraksi di padang sedemikian, namun ia bukanlah penghalang untuk para pemain menyajikan aksi-aksi yang menarik sepanjang permainan. Kedua-dua pasukan bersilih ganti membuat serangan namun barisan pertahanan kedua-dua pasukan kelihatan begitu ampuh mematahkan serangan-serangan daripada pihak lawan. Barisan tengah kedua-dua pasukan juga tampak ‘hidup’ dengan gelecekan-gelecekan dan hantaran kepada penyerang masing-masing. Namun bola masih lagi gagal meggegarkan gawang pihak lawan. Sepertiga pertama perlawanan berakhir dengan 0-0. Pada sepertiga masa kedua, kedua-dua pasukan menggandakan asakan. Beberapa percubaan telah berjaya dinafikan oleh penjaga gol masing-masing, Arman (NMC Tigers) dan Helmi (NMC Lions). Namun akibat sedikit kelekaan pemain NMC Lions, NMC Tigers akhirnya berjaya memperoleh gol pertama hasil rembatan jarak jauh kapten pasukan mereka iaitu saudara Pak Din yang gagal dibaca oleh Helmi.Tersentak dengan gol tersebut, NMC Lions cuba bangkit dengan asakan bertali arus namun masih tidak menemui penyudah yang tepat. Beberapa hantaran silang oleh pemain sayap gagal dimanfaatkan oleh para penyerang NMC Lions. Sepertiga kedua berakhir dengan NMC Tigers mendahului 1-0. Masuk ke sepertiga terakhir, kedua-dua pasukan menggandakan asakan ke kubu lawan masing-masing. Sedar bahawa mereka sedang ketinggalan, NMC Lions mula mengatur serangan dari arah tengah padang. Setelah mencuba dengan beberapa babak serangan, akhirnya NMC Lions berjaya memperoleh gol pertama mereka melalui sepakan kencang saudara Harris di hadapan pintu gol, selepas berjaya menggelecek beberapa pemain pertahanan NMC Tigers. Selepas keadaan terikat 1-1, kedua-dua pasukan mula ghairah menyerang untuk mencari gol kemenangan. Memandangkan masa hanya tinggal beberapa minit, kedua-dua pasukan seakan-akan tidak mahu perlawanan berlanjutan ke masa tambahan. Masing-masing mengambil giliran menyerang dan kadangkala memaksa kedua-dua penjaga gol bekerja keras untuk menyelamatkan pintu gol masing-masing. Menuju ke minit-minit akhir perlawanan, NMC Tigers berjaya memperoleh gol kemenangan mereka melalui sepakan leret jarak jauh saudara Hilmi Firdaus yang gagal diselamatkan oleh penjaga gol kedua NMC Lions, saudara Zamri. Perlawanan berakhir dengan kemenangan kepada pasukan NMC Tigers 2 gol berbalas satu. Keputusan akhir: NMC Tigers 2-1 NMC Lions Pihak penganjur ingin mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada semua pemain yang memeriahkan acara dan menunjukkan semangat kesukanan yang tinggi sepanjang perlawanan. Semoga berjumpa lagi pada acara yang akan datang. |
Bagi warga NMC yang ingin berkongsi berita / pengumuman / informasi terbaru ke laman portal ini, sila hubungi AJK IT NMC seperti yang tertera di muka "Maklumat AJK".
Harap Maklum. |