NOTTINGHAM, 7 April: “Tumpul", Begitulah rumusan aksi persahabatan Derby Nusantara yang berlangsung ketika menentang skuad Garuda Nottingham ahad lepas. Dalam aksi timbal balik kedua itu, skuad Garuda yang mendapat sentuhan Jurulatih Ponaryo Astaman berjaya menundukkan NMC FC dengan jaringan 6 berbalas 3, sekaligus menebus dendam dikecewakan pada aksi pertama sebelum ini dengan kekalahan besar 12-1. Skuad NMC dikejutkan dengan berita kecederaan saat akhir penyerang lagenda, Hj Aulia ketika sesi memanaskan badan. Kehilangan khidmat beliau yang merupakan hatrik hero pada aksi pusingan pertama nyata menjejaskan fokus skuad sepanjang perlawanan. Meskipun berjaya mendapat gol pertama pada awal perlawanan melalui jaringan Syakeer, skuad lawan bijak bermain secara 'counter-attacking football' dan mengambil kesempatan di atas kelebihan kelajuan pemain sayap mereka, Elie Aiboy dan Andik Vermansyah sehingga menghadirkan 4 gol balas melalui gerakan satu dua cantik. NMC FC cuba mencabar dan berjaya merapatkan jurang perbezaan melalui gol kapten Cha pada babak kedua permainan. Bibit kebangkitan tampak sedikit cerah apabila lambungan menarik Pyan pada minit 59 berjaya menerjah jaring setelah mengelirukan penjaga gol lawan dan kawan, menjadikan kedudukan 4-2. Namun dek kerna rakus mencari gol penyamaan, pihak lawan berjaya mengambil kesempatan untuk menjaringkan 2 gol pantas di akhir minit perlawanan membuatkan NMC terpaksa gigit jari dengan kekalahan 6 berbalas 3 gol. Meskipun akur dengan kekalahan ini tetapi semangat kesukanan yang ditunjukkan oleh kedua pasukan perlu dipuji tanpa sebarang kad diberikan oleh pengadil. Hj Aulia umumkan persaraan Kecederaan yang dialami Hj Aulia ketika aksi pemanas badan memaksa beliau untuk sekaligus mengumumkan persaraan daripada skuad NMC FC. Aksi beliau selama 4 tahun berjaya menghadirkan 21 gol yang melibatkan 3 hatrik, yang juga merupakan rekod hatrik terbanyak sepanjang sejarah penubuhan skuad ini. Skuad NMC FC mengucapkan selamat maju jaya kepada Hj Aulia dan khabarnya akan menceburi sukan golf secara professional selepas ini. Maju terus saudara Aulia! (BERNAMA) KEPUTUSAN: Garuda Nottingham (6) vs NMC FC (3) PENJARING: Garuda Nottingham: - Irfan Bachdim 9' - Bambang Pamungkas 22', 87' - Boaz Solossa 28' - Evan Dimas 36' - Ilham Jaya Kesuma 90' NMC FC - Syakeer 3' - Cha 42' - Pyan 59' PEMAIN NMC: - Hisham (GK) - Pyan - Azrul - Krol - Afif - Fadhli - Halim - Cha (C) - Syakeer - Syafiq - Aulia
0 Comments
SUTTON BONNINGTON, 10 March: Dua hatrik daripada Aulia dan Syakeer menggamatkan kompleks sukan Sutton Bonnington apabila Pasukan Pilihan Tajul mudah menjinakkan Pasukan MML (Masyarakat Melayu Loughborough) All-Star dalam aksi persahabatan serantau East Midlands tempoh hari. Kemenangan 7 gol berbalas satu ini juga menyaksikan Sir Tajul membuat penampilan terakhir setelah 4 musim menyarung jersi NMC FC. Beliau yang diserap melalui Akademi Gunners Backbenchers pada tahun 2015 telah mengumpul jumlah 8 gol dan 12 assist dalam 32 caps keseluruhan bersama NMC FC. Formasi taktikal ala Wenger yang diatur kali ini nyata membuahkan hasil apabila menyaksikan skuad NMC bermain secara menyerang seawal minit pertama permainan. Penyerang veteran NMC, Hj Aulia nyata tidak mempersiakan call-up apabila menyumbat hatrik meskipun dua gol berada dalam kedudukan offside. Usahawan pizza tempatan, Syakeer turut menempah nama selaku penyumbang hatrik kedua, yang merupakan rekod baru dalam sejarah NMC FC. NMC FC berpeluang menambah jaringan jika tidak kerana aksi gopoh KJ di depan gol menampan bola dengan tangan, menyaksikan gol Syazwan terpaksa dibatalkan melalui rakaman VAR. Pihak lawan cuba memberi saingan sengit sehingga berjaya memperolehi gol saguhati pada minit 45 susulan percubaan bola mati. Tambah lebih manis apabila kemenangan besar ini disusuli dengan perkhabaran bahawa Arsenal turut menjinakkan Man United dengan 2 gol berbalas kosong. Sir Tajul ketika ditemui di akhir perlawanan, khabarnya telah mendapat beberapa lamaran daripada beberapa kelab tempatan, namun ingin fokus kepada keluarga dan academik buat masa ini sebelum membuat keputusan mengenai karier beliau pada masa akan datang. Di kesempatan ini, NMC FC ingin mengucapkan selamat maju jaya buat Sir Tajul, COYG! - BERNAMA KEPUTUSAN AKHIR: Tajul All-Star NMC FC (7) vs MML All-Star (1) PENJARING:
BARISAN PEMAIN: - Hilman Seaman GK - Syahmi Lehmann GK - Pyan Mustafi - Azrul Arshavin - Tajul Torreira - Afif Vermaelen - KJ Overmars - Syakeer Nasri - Marouane Chamakh - Syazwan Lingard - Aulia Martial AuthorUnit Sukan NMC 2019 SHEFFIELD, 16 FEB: 'Belum rezeki kita lagi', begitulah ulasan ringkas Tn Fadhli Casirághi setelah menyaksikan skuad NMC terpaksa akur dengan kekalahan tipis 1-0 di peringkat suku akhir Sheffield Malaysian Games 2019. Namun beliau selaku Chef de Mission turut menyatakan rasa bangga di atas pencapaian terbaik sepanjang 6 penampilan NMC FC dalam kejohanan tahunan tersebut, membaiki rekod pusingan kedua pada tahun lalu. Lambat panas Dalam perlawanan awal skuad NMC FC bermula garang apabila meledak gol pertama peringkat kumpulan melalui penyerang utama Faizul Fernández melalui gerakan long ball cantik daripada bawah. Namun seperti biasa pasukan yang baru dibentuk sehari sebelum kejohanan ini menunjukkan aksi kurang bermaya setelah bersarapankan karipap daging kentang, membenarkan dua gol bolos di babak kedua perlawanan. Tersentak dengan dua gol pantas tersebut, strategi menyerang dengan meletakkan penjaga gol Hisham Handanovic di posisi midfielder, akhirnya mengundang padah apabila bola lambungan pihak lawan menerjah jaring di minit akhir perlawanan. Perlawanan kedua kumpulan lebih berhati-hati apabila kedua pasukan bermain possession football sehingga babak kedua, namun sedikit kealpaan menyaksikan kita tumpas 1 gol dan memaksa NMC terpaksa berputih mata dengan dua kekalahan awal. Kenduri gol Perlawanan terakhir kumpulan memaksa skuad NMC mengubah strategi 'menyerang' seawal minit pertama perlawanan dengan meletakkan 4 pemain di kotak D lawan demi mencari gol awal. Nyata semangat dan strategi tersebut tidak sia-sia apabila berjaya meledak 4 gol di babak kedua meskipun kita nyaris mendapat 3 lagi gol tambahan jika tidak kerana belas kasihan kepada pihak lawan. Kemenangan 'besar' tersebut meletakkan kita sebagai pasukan terakhir layak ke peringkat pusingan kedua kejohanan. Pusingan kalah mati menyaksikan kita berentap menentang pasukan dari Leeds, dengan kedua-dua pasukan mempamerkan perlawanan seimbang, namun di akhir babak pertama perlawanan Faizul bijak menguis bola ke gawang pihak lawan dan keputusan kekal sehingga akhir perlawanan, membawa NMC FC ke peringkat seterusnya. Penangan nasi kerabu Pertama kali beraksi di peringkat suku akhir kejohanan ini, pemain NMC FC bermain demi lencana di dada tanpa menampakkan perasaan gugup seawal perlawanan. Meskipun sudah mendapat tonik nasi kerabu sewaktu makan tengahari, fokus barisan pertahanan utama skuad, Tajul Torreira dan Pyan Cannavaro tampak sedikit sebanyak terjejas dan terbantut pergerakan sehingga memberikan gol awal kepada pihak lawan. Susulan gol tersebut, biarpun mengubah strategi dengan meletakkan Syafiq Sane, Fadhli Casiraghi, Afif Alderweireld di posisi serangan, gol penyamaan masih gagal ditemui sehingga wisel akhir perlawanan ditiup. Kelompok 8 terbaik Kapten Chanatip yang ditemui selepas kejohanan meskipun akur dengan kekalahan namun tetap berbangga dengan prestasi setiap pemain yang telah memberikan prestasi 100%, sehingga menempatkan NMC FC antara kelompok 8 terbaik kejohanan. Pastinya skuad ini akan terus bangkit pada kejohanan akan datang demi memburu kejuaraan pertama, ujar beliau lagi. BERNAMA SUMMARY: PERINGKAT KUMPULAN: - NMC FC vs All-Star FC (1-3) - Pancit FC vs NMC FC (1-0) - NMC FC vs UEL FC (4-0) PUSINGAN KEDUA: - Leeds B vs NMC FC (0-1) SUKU AKHIR: - Rolls Royce FC vs NMC FC (1-0) PENJARING: - Faizul Fernández 4 - Chanatip Songkrasin 2 Barisan pemain: - Hisham Handanoviç GK - Pyan Cannavaro - Afif Alderweireld - Tajul Torreira - Fadhli Casirághi - Syafiq Sane - Chanatip Songkrasin - Faizul Fernándezo edit. 3 FEB, Nottingham Cuaca sejuk tidak menghalang pemain NMC FC untuk turun padang buat kali pertama bagi sesi 2019 ini. Sesi kali ini juga lebih bermakna sebagai sesi latihan terakhir bagi penjaga gawang utama NMC FC, Sufri. Beliau yang juga lebih dikenali sebagai 'The Flying El Loco', bakal berpindah ke sebuah kelab ternama di Sabah demi mencari angin baru. Antara rekod yang berjaya dibuat selama 4 musim bersama skuad NMC FC adalah kenangan manis memenangi emas NMC Games 2015 dan perak NMC Games 2016. Beliau juga menempah nama sebagai calon Golden Gloves Sheffield Malaysian Games 2018 apabila hanya bolos satu gol sepanjang kejohanan. Semestinya kepulangan beliau akan dirasai oleh pemain skuad NMC FC, dan dapat dilihat pada sesi kali ini. Pemain-pemain senior seperti Vice Captain Tajul dan Syazwan saling mempamerkan aksi bertenaga sepanjang perlawanan walaupun hanya sesi latihan. Terima kasih El-Loco Sufri, semoga terus maju jaya! #YNWA Pemain lain yang hadir: Cha, Fadhli, Tajul, Afif, Syafiq, Azrul, Pyan, Syakeer, Halim, Syazwan, Hisham, Krol, Nazri. Satu perlawanan testimonial sempena kepulangan seorang lagi pemain berbakat besar NMC FC, Sdr ZulWaqar telah diadakan pada 15 Januari 2012 yang lalu. Perlawanan yang diadakan di Sports Centre University Park, University of Nottingham ini telah disertai oleh warga NMC yang hadir memberikan sokongan meskipun dalam keadaan cuaca yang hampir di paras beku. Pihak NMC merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada beliau di atas segala sumbangan beliau sepanjang berada di Nottingham. Semoga bertemu lagi pada lain waktu. Kami doakan beliau sentiasa berjaya dalam apa jua lapangan sekembalinya di tanahair, InsyaAllah. disediakan oleh: MHY
Pada 29 Oktober 2011 yang lalu, satu perlawanan testimonial sempena kepulangan salah seorang pemain kesebelasan utama NMC FC, Sdr Aziz telah diadakan di Power League, Nottingham. Ramai dikalangan NMC FC yang hadir bagi menjayakan perlawanan kali ini. NMC FC Jr yang terdiri di kalangan adik-adik dalam program Ijazah juga nyata tidak mengecewakan dengan memberikan tentangan hebat sepanjang perlawanan diadakan. Sebagai penghargaan dan tanda kenangan untuk dibawa pulang ke tanahair, pihak NMC (mewakili seluruh warga NMC khususnya NMC FC) menghadiahkan Sdr Aziz sepasang kasut edisi khas simbolik kepada sumbangan besar beliau dalam menyumbang gol-gol penting buat pasukan sepanjang berada di Nottingham. Kami doakan beliau sukses selalu dan sentiasa dilimpahi rahmat dan diredhai Allah sentiasa, InsyaAllah. disediakan oleh: MHY
Satu perlawanan persahabatan/sesi latihan bersama telah diadakan di antara pasukan NMC FC dan adik-adik dari pasukan Notts Jr di Sports Centre University Park, University of Nottingham pada 4 Oktober 2011. Perlawanan persahabatan ini bertujuan untuk mengekalkan tahap kecergasan para pemain sebagai persiapan menghadapi beberapa lagi siri perlawanan yang bakal dirancang. Selain itu, perlawanan persahabatan ini juga bertujuan untuk mengeratkan lagi tali ukhuwah dan semangat kekeluargaan di antara kedua-dua belah pihak. Meskipun hanya dibarisi oleh sebahagian kecil pemain NMC FC, rata-rata pemain yang hadir nyata menunjukkan kesungguhan sepanjang perlawanan diadakan. Tiada kecederaan serius dilaporkan buat para pemain dari kedua-dua buah pasukan. disediakan oleh: MHY
Satu lagi perlawanan turut diadakan di antara pasukan NMC FC menentang pasukan Nottingham Forest B- pada 25 Julai 2011 yang lalu di Sports Centre University Park, University of Nottingham. Dalam perlawanan tersebut, Nottingham Forest B- telah dibarisi oleh pemain-pemain yanga rata-ratanya di kalangan para pelajar tempatan di Nottingham. Perlawanan yang pada awalnya dirancang sebagai platform kepada para pemain untuk menguji ketahanan fizikal dan mental masing-masing nyata membawa padah apabila pasukan NMC FC gagal untuk menguasai perlawanan dan terpaksa bertahan dari serangan bertali arus pihak lawan. Selain faktor fizikal yang jelas memberikan kelebihan bagi pasukan lawan, keletihan dan kecederaan yang dialami para pemain NMC FC kesan daripada perlawanan sebelumnya menjadi antara punca penyebab kekalahan pasukan kali ini. Banyak pengajaran yang boleh diambil dan dijadikan panduan untuk masa-masa yang akan datang. Sebagai tanda penghargaan, pihak NMC menghadiahkan kepada pasukan lawan jersi edisi terhad NMC FC untuk kenangan dan memoribilia sempena perlawanan tersebut. disediakan oleh: MHY
Pada 25 Julai 2011 yang lalu, pihak NMC telah mengadakan satu perlawanan persahabatan di antara pasukan NMC FC menentang pasukan Middle East All Star di Sports Centre University Park, University of Nottingham. Sebaik wisel ditiupkan, pasukan lawan yang dibarisi oleh para pelajar Nottingham dari negara timur tengah nyata memberikan tentangan hebat dengan serangan bertali arus buat pasukan NMC FC. Perlawanan cukup sengit dengan keadaan fizikal pemain lawan yang besar dan tinggi lampai membuatkan ramai bintang-bintang NMC FC mengalami kecederaan. Berkat kesungguhan dan kesefahaman tinggi yang sudah pun terjalin sejak beberapa siri perlawanan persahabatan yang lalu di antara para pemain, perlawanan akhirnya berkesudahan memihak kepada NMC FC dengan jaringan 8 gol berbalas 7. Tahniah dan syabas kami ucapkan! disediakan oleh: MHY
Sebelum pasukan NMC FC berehat sementara sempena kedatangan bulan Ramadhan Al-Mubarak yang bakal menjelma, satu lagi perlawanan persahabatan telah diadakan di antaraNMC FC dan Masyarakat Melayu Loughborough (MML). Perlawanan persahabatan ini diadakan bagi menimbal balik perlawanan bola sepak yang pernah diadakan sebelum ini dimana pasukan NMC telah mengalahkan pasukan MML FC 2 – 1; dan juga bagi memenuhi semangat pasukan NMC yang masih lagi membara selepas berjaya menewaskan pasukan dari Birmingham pada minggu sebelumnya. Bertempat di Sports Centre University Park, University of Nottingham, perlawanan di antara NMC FC dan MML FC nyata sengit dengan sorakan yang tidak putus-putus dari para penyokong dari kedua-dua belah pasukan. Keputusan perlawanan walau bagaimanapun tidak memihak kepada NMC FC. Ketangkasan pemain lawan dan ketumpulan di jentera serangan di pihak NMC FC ditambah beberapa keputusan kontroversi oleh pengadil nyata menjadi penyebab kekalahan pasukan kali ini. Sedikit jamuan ringkas dan cenderahati disediakan di akhir perlawanan, sebagai tanda terima kasih buat warga MML yang sudi meluangkan masa untuk bersama-sama menjayakan perlawanan kali ini. Kerjasama dan talian persahabatan yang dihulurkan oleh pihak MML amat kami hargai. disediakan oleh: MHY
|
Nottingham Malaysian Community Football Club (NMC FC)
NMC FC ditubuhkan bagi memenuhi keperluan majoriti warga NMC yang meminati sukan bola sepak. Selain daripada itu, NMC FC juga bertujuan untuk mengeratkan lagi ukhuwah di kalangan ahli di samping memastikan tahap kesihatan & kecergasan yang optimum melalui aktiviti riadah dan sukan. Interaksi & integrasi positif di antara kaum dan warga setempat, minat serta kecenderungan dalam kegiatan bermasyarakat turut dapat dipupuk melalui beberapa siri perlawanan persahabatan yang sering diadakan setiap tahun. Keahlian NMC FC adalah terbuka hanya kepada ahli berdaftar NMC. Archives
April 2019
|