Bersempena memperingati peristiwa Hijrah yang berlaku kepada sirah junjungan besar kita, Nabi Muhammad SAW bersama para pengikutnya dari kota Makkah ke Madinah yang menjadi titik penting penyebaran syiar Islam, pihak NMC telah menganjurkan Program Ceramah Ma'al Hijrah 1433H. Bertempat di Dunkirk Community Centre, Nottingham, majlis berlangsung selama sejam dan telah dihadiri oleh seluruh warga NMC yang berkelapangan. Bacaan doa akhir dan awal tahun turut diadakan pada majlis tersebut. Majlis turut dimeriahkan dengan kehadiran gerai-gerai jualan berkonsepkan "Pasar Malam" Nottingham. Pihak NMC amat berterima kasih kepada seluruh warga NMC di atas sokongan dan kerjasama dalam memastikan perjalanan majlis berjalan dengan baik dan lancar. “Orang yang berhijrah ialah orang yang meninggalkan kejahatan, maka dia menjauhinya.” (Hadis riwayat Ahmad) disediakan oleh MHY
0 Comments
Sebagaimana tahun-tahun sebelumnya, Nottingham Malaysian Games (NMG) & Food Festival 2011 yang berlangsung pada 12 November 2011 yang lalu merupakan antara program tahunan yang sering dinanti-nantikan oleh bukan sahaja warga NMC di Nottingham malah seluruh warga Malaysia yang menetap di United Kingdom. Seramai hampir 6000 pelajar telah berkumpul di University of Nottingham untuk turut serta menyaksikan 14 acara sukan yang dipertandingkan. Antara acara sukan yang dipertandingkan termasuk badminton, bola jaring, futsal, squash, catur dan sebagainya. Dirasmikan oleh YB Dato Razali Bin Haji Ibrahim, Timbalan Menteri Belia dan Sukan Malaysia. Antara tetamu kehormat yang akan hadir termasuk YBhg. Datin Melissa Shireen Munshir isteri kepada YB, En. Wan Zaidi Wan Abdullah Timbalan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke United Kingdom, Prof. Madya Dr. Rosman Abdullah Pengarah Education Malaysia UK & Eire, para pegawai Kementerian Belia dan Sukan, para pegawai Suruhanjaya Tinggi Malaysia dan Education Malaysia UK & Eire. Turut mencuri perhatian para pengunjung di NMG adalah program Malaysian Food Festival (MFF) 2011. MFF bertujuan untuk memperkenalkan makanan tradisional Malaysia di kalangan warga tempatan selain menjamu para pengunjung NMG sepanjang acara sukan dipertandingkan. Bertempat di 3 buah lokasi tumpuan sekitar universiti, para pengunjung dihidangkan dengan pelbagai jenis makanan antaranya nasi lemak, sate, cendol, roti canai, murtabak dan lain-lain. disediakan oleh: MHY
Pada 6 November 2011 bersamaan 10 Zulhijjah 1432H yang lalu, pihak NMC telah menganjurkan Solat Sunat & Khutbah Aidiladha sempena Majlis Sambutan Aidiladha 2011/1432H. Bertempat di Radford Primary School, Nottingham, khutbah Aidiladha disampaikan oleh Ust Suharman. Majlis turut dimeriahkan dengan acara cukur jambul dan aqiqah bagi menyambut kelahiran cahaya mata kepada pasangan Sdr Zul-Waqar dan Pn Wan Rukaida. Majlis dihadiri oleh warga NMC yang menetap di Nottingham termasuk adik-adik dari program ijazah di University of Nottingham dan Nottingham Trent University. Pelbagai juadah menarik hasil sumbangan warga NMC turut disediakan. Antaranya nasi beriyani, kurma daging, ayam goreng, kari telur, acar, nasi impit, popiah, agar-agar dan sebagainya. Sesi fotografi turut diadakan diakhir majlis. Semoga persahabatan dan jalinan ukhuwah sepanjang majlis berlangsung mendapat manfaat dan balasan rahmat dari Allah SWT, InsyaAllah disediakan oleh: MHY
Bagi menyambut ketibaan Aidiladha 2011/1432H, pihak NMC telah menganjurkan Program Ziarah Takbir Raya dari rumah ke rumah pada hari Sabtu (malam raya), 5 November 2012. Program bertujuan untuk menghidupkan malam Aildiladha dengan alunan takbir memuji kebesaran Allah dan junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Sejumlah 5 buah rumah di kalangan warga NMC telah melibatkan diri dalam program tersebut. Pihak NMC mengucapkan terima kasih di atas kesediaan dan sumbangan pihak tuan rumah serta seluruh warga NMC yang bekerjasama dalam menjayakan program tersebut. “Hendaklah kamu menyempurnakan bilangannya dan hendaklah kamu mengagungkan Allah (bertakbir) atas petunjukNya yang diberikan kepada kamu, mudah-mudahan kamu mahu bersyukur”. (al-Baqarah 2: 185) disediakan oleh: MHY
|
Bagi warga NMC yang ingin berkongsi berita / pengumuman / informasi terbaru ke laman portal ini, sila hubungi AJK IT NMC seperti yang tertera di muka "Maklumat AJK".
Harap Maklum. |