Assalamualaikum dan salam sejahtera,
Pada hari Sabtu, 1 November 2014 telah diadakan acara Bolasepak sempena NMC Games 2014 yang berlangsung di padang Astroturf, Forest Recreation Ground, Forest Fields, Nottingham. Acara tersebut mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada warga NMC yang hadir untuk menyaksikan pertembungan epic ala El Clasico di antara NMC Tigers dan NMC Lions. NMC Tigers yang dipimpin oleh kapten Pak Din turun berjersi hitam manakala NMC Lions pula dipimpin oleh kapten Hafiz yang turun berjersi merah. Perlawanan tersebut dikendalikan oleh saudara Hamidi sebagai pengadil; dijalankan dalam format 7 sebelah, 3 sepertiga masa Sebaik sahaja wisel permulaan dituipkan, kedua-dua pasukan telah cuba untuk mendominasi permainan. Dengan keadaan padang astroturf yang agak licin, para pemain kelihatan amat berhati-hati pada babak awal permainan. Walaupun para pemain jarang beraksi di padang sedemikian, namun ia bukanlah penghalang untuk para pemain menyajikan aksi-aksi yang menarik sepanjang permainan. Kedua-dua pasukan bersilih ganti membuat serangan namun barisan pertahanan kedua-dua pasukan kelihatan begitu ampuh mematahkan serangan-serangan daripada pihak lawan. Barisan tengah kedua-dua pasukan juga tampak ‘hidup’ dengan gelecekan-gelecekan dan hantaran kepada penyerang masing-masing. Namun bola masih lagi gagal meggegarkan gawang pihak lawan. Sepertiga pertama perlawanan berakhir dengan 0-0. Pada sepertiga masa kedua, kedua-dua pasukan menggandakan asakan. Beberapa percubaan telah berjaya dinafikan oleh penjaga gol masing-masing, Arman (NMC Tigers) dan Helmi (NMC Lions). Namun akibat sedikit kelekaan pemain NMC Lions, NMC Tigers akhirnya berjaya memperoleh gol pertama hasil rembatan jarak jauh kapten pasukan mereka iaitu saudara Pak Din yang gagal dibaca oleh Helmi.Tersentak dengan gol tersebut, NMC Lions cuba bangkit dengan asakan bertali arus namun masih tidak menemui penyudah yang tepat. Beberapa hantaran silang oleh pemain sayap gagal dimanfaatkan oleh para penyerang NMC Lions. Sepertiga kedua berakhir dengan NMC Tigers mendahului 1-0. Masuk ke sepertiga terakhir, kedua-dua pasukan menggandakan asakan ke kubu lawan masing-masing. Sedar bahawa mereka sedang ketinggalan, NMC Lions mula mengatur serangan dari arah tengah padang. Setelah mencuba dengan beberapa babak serangan, akhirnya NMC Lions berjaya memperoleh gol pertama mereka melalui sepakan kencang saudara Harris di hadapan pintu gol, selepas berjaya menggelecek beberapa pemain pertahanan NMC Tigers. Selepas keadaan terikat 1-1, kedua-dua pasukan mula ghairah menyerang untuk mencari gol kemenangan. Memandangkan masa hanya tinggal beberapa minit, kedua-dua pasukan seakan-akan tidak mahu perlawanan berlanjutan ke masa tambahan. Masing-masing mengambil giliran menyerang dan kadangkala memaksa kedua-dua penjaga gol bekerja keras untuk menyelamatkan pintu gol masing-masing. Menuju ke minit-minit akhir perlawanan, NMC Tigers berjaya memperoleh gol kemenangan mereka melalui sepakan leret jarak jauh saudara Hilmi Firdaus yang gagal diselamatkan oleh penjaga gol kedua NMC Lions, saudara Zamri. Perlawanan berakhir dengan kemenangan kepada pasukan NMC Tigers 2 gol berbalas satu. Keputusan akhir: NMC Tigers 2-1 NMC Lions Pihak penganjur ingin mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada semua pemain yang memeriahkan acara dan menunjukkan semangat kesukanan yang tinggi sepanjang perlawanan. Semoga berjumpa lagi pada acara yang akan datang.
0 Comments
Leave a Reply. |
Bagi warga NMC yang ingin berkongsi berita / pengumuman / informasi terbaru ke laman portal ini, sila hubungi AJK IT NMC seperti yang tertera di muka "Maklumat AJK".
Harap Maklum. |