Satu lagi perlawanan turut diadakan di antara pasukan NMC FC menentang pasukan Nottingham Forest B- pada 25 Julai 2011 yang lalu di Sports Centre University Park, University of Nottingham. Dalam perlawanan tersebut, Nottingham Forest B- telah dibarisi oleh pemain-pemain yanga rata-ratanya di kalangan para pelajar tempatan di Nottingham. Perlawanan yang pada awalnya dirancang sebagai platform kepada para pemain untuk menguji ketahanan fizikal dan mental masing-masing nyata membawa padah apabila pasukan NMC FC gagal untuk menguasai perlawanan dan terpaksa bertahan dari serangan bertali arus pihak lawan. Selain faktor fizikal yang jelas memberikan kelebihan bagi pasukan lawan, keletihan dan kecederaan yang dialami para pemain NMC FC kesan daripada perlawanan sebelumnya menjadi antara punca penyebab kekalahan pasukan kali ini. Banyak pengajaran yang boleh diambil dan dijadikan panduan untuk masa-masa yang akan datang. Sebagai tanda penghargaan, pihak NMC menghadiahkan kepada pasukan lawan jersi edisi terhad NMC FC untuk kenangan dan memoribilia sempena perlawanan tersebut. disediakan oleh: MHY
0 Comments
Pada 25 Julai 2011 yang lalu, pihak NMC telah mengadakan satu perlawanan persahabatan di antara pasukan NMC FC menentang pasukan Middle East All Star di Sports Centre University Park, University of Nottingham. Sebaik wisel ditiupkan, pasukan lawan yang dibarisi oleh para pelajar Nottingham dari negara timur tengah nyata memberikan tentangan hebat dengan serangan bertali arus buat pasukan NMC FC. Perlawanan cukup sengit dengan keadaan fizikal pemain lawan yang besar dan tinggi lampai membuatkan ramai bintang-bintang NMC FC mengalami kecederaan. Berkat kesungguhan dan kesefahaman tinggi yang sudah pun terjalin sejak beberapa siri perlawanan persahabatan yang lalu di antara para pemain, perlawanan akhirnya berkesudahan memihak kepada NMC FC dengan jaringan 8 gol berbalas 7. Tahniah dan syabas kami ucapkan! disediakan oleh: MHY
Sebelum pasukan NMC FC berehat sementara sempena kedatangan bulan Ramadhan Al-Mubarak yang bakal menjelma, satu lagi perlawanan persahabatan telah diadakan di antaraNMC FC dan Masyarakat Melayu Loughborough (MML). Perlawanan persahabatan ini diadakan bagi menimbal balik perlawanan bola sepak yang pernah diadakan sebelum ini dimana pasukan NMC telah mengalahkan pasukan MML FC 2 – 1; dan juga bagi memenuhi semangat pasukan NMC yang masih lagi membara selepas berjaya menewaskan pasukan dari Birmingham pada minggu sebelumnya. Bertempat di Sports Centre University Park, University of Nottingham, perlawanan di antara NMC FC dan MML FC nyata sengit dengan sorakan yang tidak putus-putus dari para penyokong dari kedua-dua belah pasukan. Keputusan perlawanan walau bagaimanapun tidak memihak kepada NMC FC. Ketangkasan pemain lawan dan ketumpulan di jentera serangan di pihak NMC FC ditambah beberapa keputusan kontroversi oleh pengadil nyata menjadi penyebab kekalahan pasukan kali ini. Sedikit jamuan ringkas dan cenderahati disediakan di akhir perlawanan, sebagai tanda terima kasih buat warga MML yang sudi meluangkan masa untuk bersama-sama menjayakan perlawanan kali ini. Kerjasama dan talian persahabatan yang dihulurkan oleh pihak MML amat kami hargai. disediakan oleh: MHY
Pada 10 Julai 2011, satu perlawanan persahabatan telah diadakan di antara NMC FC dan MciB FC bertempat di padang Birmingham City University. Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada pasukan NMC yang berjaya menundukkan pasukan MciB FC dgn keputusan 4-2. Awal perlawanan menyaksikan kedua-dua pasukan tercari-cari rentak permainan. NMC FC berjaya membolosi gawang lawan dan mendahului mendahului satu gol pada babak pertama. Namun, MciB FC pantas menyamakan kedudukan 1-1. Babak ke-2 pula menyaksikan pasukan Birm mendahului dengan 2-1. Serangan berterusan pasukan NMC FC pula berjaya menghasilkan gol penyamaan menjadikan kedudukan 2-2. Dalam babak ke-3 pula, pasukan NMC FC terus memperkemaskan jentera tengah dan hasil usaha gigih berjaya menjaringkan 2 gol berturut-turut untuk mendahului 4-2. MciB FC cuba mengasak di minit-minit akhir tapi gagal melepasi benteng pertahanan NMC FC. Hasil ketangkasan penjaga gawang, kekentalan pertahanan, kebijakan engin tengah mengemudi dan kepantasan penyerang mengambil peluang serta kesetiaan penyokong bermandiankan peluh kepanasan, NMC FCberjaya mengekalkan kelebihan dua gol sehingga tamat menjadikan keputusan akhir 4-2 kemenangan berpihak kepada NMC FC. Pihak NMC mengucap penghargaan kepada semua pemain yang menunjukkan kesungguhan yang tinggi, pengadil dan penjaga garisan yang sukarela bertugas serta penyokong yang hadir memberikan semangat kepada pemain. disediakan oleh: MHY
|
Nottingham Malaysian Community Football Club (NMC FC)
NMC FC ditubuhkan bagi memenuhi keperluan majoriti warga NMC yang meminati sukan bola sepak. Selain daripada itu, NMC FC juga bertujuan untuk mengeratkan lagi ukhuwah di kalangan ahli di samping memastikan tahap kesihatan & kecergasan yang optimum melalui aktiviti riadah dan sukan. Interaksi & integrasi positif di antara kaum dan warga setempat, minat serta kecenderungan dalam kegiatan bermasyarakat turut dapat dipupuk melalui beberapa siri perlawanan persahabatan yang sering diadakan setiap tahun. Keahlian NMC FC adalah terbuka hanya kepada ahli berdaftar NMC. Archives
April 2019
|