Aasalamualaikum & salam sejahtera,
NMC Games 2014 telah membuka tirai kejohanan edisi sulung ini dengan acara sepaktakraw lelaki. Acara yang berlangsung pada hari Ahad, 5 Oktober 2014 di dewan Noel Street tersebut telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada para penyokong pasukan masing-masing. Untuk regu pertama, pasukan NMC Tigers membariskan saudara Khairuddin (Pak Din) sebagai tekong, Jefri sebagai 'feeder', Hilmi Firdaus sebagai 'killer' and Faizan sebagai simpanan; manakala NMC Lions pula menurunkan saudara Azam sebagai tekong, Hafiz Abu Hassan sebagai 'feeder', Nazman sebagai 'killer' dan Fadly sebagai simpanan. Perlawanan tersebut bermula dengan begitu menarik di mana kedua-dua pasukan bergilir-gilir mengutip mata. Dengan kehadiran para penonton, dewan tersebut gegak gempita dengan sorakan dan kata-kata semangat daripada penyokong kedua-dua pasukan. Kedua-dua tekong mempamerkan teknik servis yang begitu meyakinkan dan para pemain seolah-olah begitu berhati-hati pada set pertama perlawanan. Killer kedua-dua pasukan juga sering memeriahkan suasana dengan lipatan dan gulungan yang begitu mengkagumkan hasil daripada umpanan 'feeder' masing-masing. Set pertama telah dimenangi oleh pasukan NMC Lions dengan mata 21-14. Seolah-olah tidak mahu mengalah, NMC Tigers bangkit garang pada set yang kedua. Dengan servis 'tak berbayang' Pak Din, barisan pemain NMC Lions seakan-akan terpukau dengan corak permainan NMC Tigers. Walaupun pada mulanya NMC Lions tampak begitu yakin, namun mereka agak longlai menuju saat-saat akhir set kedua dengan melakukan beberapa 'unforced error' dan secara tidak langsung memberikan kelebihan kepada pasukan NMC Tigers. Akhirnya pasukan NMC Tigers telah berjaya memenangi set kedua dengan mata 21-11. Perlawanan yang sengit tersebut berlanjutan sehingga ke rubber set dan kedua-dua pasukan masuk ke gelanggang dengan penuh bersemangat. Set penentuan yang amat mendebarkan itu bermula dengan begitu rancak dan para pemain tidak menunjukkan tanda-tanda kepenatan. Rejaman dan 'blocking' yang dilakukan bersilih ganti amat menarik perhatian penonton. Namun, sudah menjadi adat permainan, mesti ada yang menang dan ada yang kalah. Akhirnya pasukan NMC Lions telah berjaya memenangi set penentuan tersebut dengan mata 21-16 dan sekaligus mengutip mata pertama untuk NMC Lions untuk NMC Games 2014 ini. Selepas itu, regu kedua pula turun untuk membuat perhitungan. Pasukan NMC Tigers menurunkan saudara Hafiz Baharuddin sebagai tekong, Zulhelmy (Ming) sebagai 'feeder', Faisal (Cha) sebagai 'killer' dan Anas sebagai simpanan; manakala NMC Lions pula membariskan saudara Sani sebagai tekong, Helmi Ali sebagai 'feeder', Harris sebagai 'killer' dan Zamri sebagai simpanan. Perlawanan regu kedua ini tidak kurang hebatnya. Para pemain kedua-dua pasukan menunjukkan semangat juang yang tinggi dan mempamerkan permainan yang begitu mempersonakan. Para penonton disajikan dengan teknik servis yang menarik dan mereka membuat kiraan 1-2-3 seiring dengan bola yang dimainkan. Set pertama telah dimenangi oleh NMC Lions dengan mata 21-18. NMC Tigers bangkit dengan begitu meyakinkan pada set kedua. Seperti wira yang baru pulih daripada kecederaan, NMC Tigers seolah-olah tidak memberi peluang kepada NMC Lions untuk menyerang. Kepantasan tandukan yang diselang-selikan dengan libasan oleh pemain NMC Tigers kadangkala gagal disambut dengan baik oleh para pemain NMC Lions. Akhirnya NMC Tigers berjaya memenangi set kedua dengan mata 21-12. Sewaktu rehat, para pemain berbincang strategi masing-masing dan kedua-dua pasukan menunjukkan keyakinan yang amat tinggi untuk memenangi set ketiga yang akan berlangsung selepas itu. Set penentuan bermula dengan begitu mendebarkan. Para pemain kelihatan begitu bersungguh berjuang untuk pasukan masing-masing. Walaupun cuaca amat dingin di luar, namun bahang pertandingan amat terasa di dalam dewan. Para penonton tidak berkelip menyaksikan wira pasukan masing-masing beraksi di dalam gelanggang. Set penentuan yang agak sengit itu akhirnya dimenangi oleh pasukan NMC Lions dengan mata 21-13 dan sekaligus memberikan mata yang kedua untuk pasukan NMC Lions. Pihak penganjur ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada para penonton yang hadir dan setinggi-tinggi penghargaan kepada para pemain yang berjuang dalam acara sepaktakraw kali ini. Semoga kita berjumpa lagi dalam acara yang seterusnya. Keputusan Penuh: Regu 1: NMC Lions menang 21-14, 11-21, 21-16. Regu 2: NMC Lions menang 21-18, 12-21, 21-13. Jurugambar: Muhammad Asyran
0 Comments
Leave a Reply. |
Bagi warga NMC yang ingin berkongsi berita / pengumuman / informasi terbaru ke laman portal ini, sila hubungi AJK IT NMC seperti yang tertera di muka "Maklumat AJK".
Harap Maklum. |