Bagi menyambut kedatangan Ramadhan tahun ini, pihak NMC telah menganjurkan Program "Iftar & Ramadhan Get Together" pada hari Sabtu Pertama dan Ketiga ( 6 dan 20 Ogos 2011 ) Ramadhan 1432 H. Program yang dijalankan sebanyak 2 sesi ini bertujuan untuk memupuk ukhuwah dan merapatkan tali silaturahim di kalangan warga NMC di samping mengimarahkan lagi bulan Ramadhan yang penuh keberkatan tahun ini. Hampir semua warga NMC yang beragama Islam hadir pada kedua-dua sesi Iftar yang dijalankan. Majlis dimulakan dengan pengisian Ramadhan yang disampaikan oleh Ust Aririe (Iftar 1) dan Ust Dr. Amali (Iftar 2). Intipati yang disampaikan oleh kedua-dua penceramah antara lain mengajak pendengar agar bersama menghayati Ramadan dengan memperbanyakkan amalan soleh seperti membaca Al-Quran,berzikir,bertadarus,berterawi dan sebagainya. Kupasan mendalam tentang fadhilat berpuasa turut disampaikan oleh oleh kedua-dua penceramah. Sejurus selepas azan Maghrib berkumandang, tetamu-tetamu yang hadir kemudiannya dihidangkan dengan tamar, kuih dan buah-buahan sebagai pengalas perut. Solat maghrib secara berjemaah kemudiannya dilaksanakan diikuti dengan iftar beramai-ramai di kalangan warga NMC. Pelbagai hidangan enak telah disediakan hasil sumbangan warga NMC. Antaranya nasi tomato, ayam goreng berempah, ayam masak merah, kari daging dan sebagainya. Bagi membantu warga NMC memenuhi rukun Islam yang ke-4, kaunter pungutan zakat turut disediakan oleh wakil NMC. Hasil pungutan zakat ini akan diserahkan kepada amil bertauliah/disedekahkan kepada masjid dan orang-orang yang berhak mengikut ketentuan yang telah ditetapkan dalam Islam. Kaunter kutipan yuran keahlian turut dibuka semasa majlis Iftar berlangsung. Hasil kutipan yuran ini antara lain akan digunakan untuk menampung aktiviti-aktiviti yang bakal dijalankan NMC sepanjang tahun dalam usaha untuk memastikan suasana ceria dan harmoni dikekalkan di kalangan warga NMC sepanjang berada di Nottingham. Majlis turut diserikan dengan dendangan nasyid oleh warga cilik NMC. Tetamu-tetamu yang hadir nyata tidak kering gusi melihat telatah warga cilik NMC di pentas yang comel menggayakan aksi sepanjang lagu dimainkan. Selain itu, ucapan perpisahan turut disampaikan oleh Sdr Effendi sempena keberangkatan pulang beliau sekeluarga ke tanahair selepas menamatkan pengajian masing-masing di Nottingham. Majlis diakhiri dengan gotong-royong membersihkan dewan dan sesi fotografi beramai-ramai. إِنَّ لِلصَّائِمِ عِنْدَ فِطْرِهِ لَدَعْوَةً مَا تُرَدُّ. “Sesungguhnya bagi orang berpuasa itu, do`a yang tidak ditolak ketika dia berbuka.” disediakan oleh : MHY
0 Comments
Leave a Reply. |
Bagi warga NMC yang ingin berkongsi berita / pengumuman / informasi terbaru ke laman portal ini, sila hubungi AJK IT NMC seperti yang tertera di muka "Maklumat AJK".
Harap Maklum. |