Assalamualaikum & salam sejahtera,
Pada petang Sabtu, 4 Oktober 2014, telah berlangsung perlawanan persahabatan bolasepak “Muhibbah Cup” antara pasukan Nottingham Malaysian Community (NMC) dan Masyarakat Malaysia Loughborough (MML). Perlawanan timbal balik kedua itu diadakan di padang Sports Complex, University of Nottingham dan dimulakan pada kira-kira pukul 4.15 petang. Pasukan NMC kali ini dipimpin oleh Pak Dean ‘van Gaal’ yang bijak mengatur strategi pasukan. Pasukan NMC bermula garang sebaik sahaja wisel permulaan ditiupkan dengan mengatur serangan demi serangan ke pintu gol MML. Dengan kelebihan beraksi di gelanggang dan di hadapan penonton sendiri, permainan pasukan NMC kelihatan lebih terancang dengan membuat hantaran-hantaran pendek pada awal babak permainan berbanding dengan pasukan MML yang masih lagi belum ‘settle down’ lebih-lebih lagi dalam keadaan cuaca yang amat dingin. Hasil serangan bertali arus, NMC berjaya mendapatkan gol pertama melalui pemain muda Taufik ‘Neymar’ pada seawal minit ke-5 perlawanan setelah menyempurnakan lorongan cantik daripada Sani 'Falcao'. Seolah-olah belum berpuas hati dengan gol pertama tersebut, usaha pasukan NMC sekali lagi membuahkan hasil dengan mendapat gol kedua. Kali ini gol dijaringkan oleh Jefri ‘Aubameyang’ pada minit ke-10 hasil umpanan kemas Me-Cha 'Ozil' Ingatkan panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengahari. Setelah bolos gol kedua, pasukan MML mula menunjukkan taring mereka. Kali ini pasukan MML pula mengatur serangan ke kubu NMC. Dengan semangat juang yang tinggi, para pemain MML juga mengatur serangan dengan penuh tersusun dengan build-up yang menarik. Namun serangan mereka pada awalnya berjaya dipatahkan oleh barisan pertahanan NMC yang diketuai oleh Ming ‘Terry’ dan dibantu oleh defending midfielder, Azam ‘Gerrard’. Pada minit ke-15, pasukan MML hampir-hampir menjaringkan gol pertama MML apabila penyerang mereka berjaya lolos ke dalam kotak penalti NMC. Namun, sepakan kencang beliau berjaya ditepis keluar oleh penjaga gol NMC, Helmi ‘Mignolet’ yang seolah-olah telah dapat menjangka arah bola tersebut. Selepas itu, pasukan MML terus ghairah mengatur serangan demi serangan ke kubu NMC dan hasilnya, pada minit ke-20, pasukan MML telah dihadiahkan dengan sepakan penalti setelah terjahan keras dilakukan kepada pemain mereka. Pemain MML tidak melepaskan peluang tersebut dengan melepaskan sepakan kencang kearah bucu kiri gawang NMC dan tidak berjaya diselamatkan oleh penjaga gol NMC, Helmi ‘Mignolet’. Seolah-olah mendapat tonik dengan gol pertama tersebut, pasukan MML terus-menerus menyerang ke kubu NMC. Namun ketangkasan Helmi ‘Mignolet’ telah menafikan banyak peluang MML. Mungkin kerana sedikit kelekaan barisan pemain NMC, bak kata pepatah orang-orang tua dalam drama pendek Sang Kancil “sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya”, pasukan MML telah berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-30 dengan membuat lambungan cantik ke arah kiri gawang NMC dan gagal dijangkau oleh Helmi ‘Mignolet’. Seolah-olah tersentak dangan gol penyamaan tersebut, pasukan NMC mula menukar corak permainan dan menggandakan asakan dengan membuat serangan dari arah kiri dan kanan pintu gol MML melalui larian deras Me-Cha ‘Ozil’ dan Harris ‘Oscar’. Jentera tengah NMC juga kadangkala berjaya mengkucar-kacirkan pertahanan MML dengan gelecekan pantas Hafiz A. ‘Fabregas’ dan Pak Dean ‘van Gaal’ sendiri. Pada lewat babak pertama, akhirnya pasukan NMC berjaya memperoleh gol ke-3 hasil tandukan ‘terbang’ oleh pemain yang baru dimasukkan, Hafiz ‘van Persie’ Pada babak kedua, pasukan NMC membuat pertukaran dengan mengeluarkan penjaga gol, Helmi ‘Mignolet’ dan memasukkan Nazib ‘de Gea’. Anas ‘Hazard’ juga dimasukkan untuk menggantikan Harris ‘Oscar’. Babak kedua yang penuh mendebarkan dimulakan dengan aksi seimbang oleh kedua-dua pasukan. Kedua-dua pasukan mengambil giliran meyerang ke kubu lawan masing-masing namun bola tidak berjaya menggegarkan jaring. Hanya pada minit ke-15 separuh masa kedua, pasukan NMC berjaya memperoleh gol keempat hasil ‘miscommunication’ antara pertahanan MML dan penjaga gol mereka. Perlawanan berakhir pada pukul 6 petang dengan keputusan NMC 4 - 2 MML. Seusai perlawanan, para pemain kedua-dua pasukan beramah mesra dan menikmati sedikit jamuan sempena Hari Raya Aidiladha. Nasi impit, kuah kacang, nasi goreng, bihun goreng, mi goreng, kek lapis dan buah-buahan adalah antara juadah yang disediakan. Majlis diakhiri dengan ucapan ringkas oleh Penghulu NMC dan penyerahan piala ‘Muhibbah Cup’ oleh wakil MML kepada wakil NMC. Pihak penganjur ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada pihak MML yang sudi datang ke Nottingham lebih-lebih lagi pada petang Aidiladha ini demi untuk menjayakan perlawanan persahabatan Muhibbah Cup pada kali ini. Juga setinggi-tinggi penghargaan kepada para pemain kedua-dua pasukan yang menunjukkan semangat kesukanan yang tinggi dan bermain dengan bersungguh-sungguh sepanjang perlawanan di padang. Semoga kita berjumpa lagi pada sesi Muhibbah Cup yang akan datang. Jurugambar: Mohd Zulhelmy@ Ming
0 Comments
Leave a Reply. |
Bagi warga NMC yang ingin berkongsi berita / pengumuman / informasi terbaru ke laman portal ini, sila hubungi AJK IT NMC seperti yang tertera di muka "Maklumat AJK".
Harap Maklum. |