Assalamualaikum dan salam sejahtera,
Pada hari Sabtu 11 Oktober 2014, telah diadakan Majlis Sambutan Aidiladha NMC yang bertempat di dewan Radford Primary School, Nottingham. Majlis tahunan tersebut mendapat sambutan yang begitu menggalakkan daripada warga Malaysia yang menetap di bumi Nottingham. Majlis dimulakan dengan kata-kata aluan daripada pasangan pengerusi majlis, saudara Syahiran dan saudari Nor Syukrina Jasmin dan diikuti dengan bacaan doa yang dipimpin oleh saudara Ahmad Ibrahim. Selepas itu Majlis diteruskan dengan ucapan ringkas daripada Penghulu NMC dan dan selepas itu para hadirin sama-sama mendengar sedikit perkongsian daripada Tuan Haji Azlan mengenai perjalanan beliau menunaikan fardhu Haji bersama isteri di tanah suci Mekah pada tahun 2013. Beliau berkongsi bagaimana cara-cara untuk menguruskan perjalanan ke tanah suci dari United Kingdom, persediaan diri dan pengalaman menunaikan haji secara keseluruhannya. Sesi yang amat menarik itu mendapat perhatian penuh daripada para hadirin yang hadir yang mendengar dengan penuh minat. Selepas itu, para hadirin dihiburkan dengan persembahan oleh 'warga-warga kecil' iaitu anak-anak warga NMC di bawah kelolaan tenaga-tenaga pengajar KAFA 'Lil Caliph. Mereka beramai-ramai menyayikan lagu 'Allah Created Everything' dan 'Thank You Allah'. Persembahan adik-adik comel tersebut amat menarik dan para hadirin amat terhibur tengan telatah mereka. Setelah selesai persembahan, para hadirin diberi sedikit taklimat mengenai KAFA 'Lil Caliph oleh saudara Aiman Amri, yang juga merupakan salah seorang tenaga pengajar. Beliau menerangkan serba sedikit mengenai latar belakang, sejarah penubuhan dan aktiviti-aktiviti yang dijalankan di KAFA tersebut. KAFA yang dikelolakan secara sukarela oleh adik-adik undergraduates warga Malaysia tersebut akan memulakan sesi baru pada hari Sabtu 18 Oktober 2014 pada pukul 11am-1pm. Acara diteruskan dengan sesi perkenalan warga baru NMC. Para warga Malaysia yang baru tiba sekitar bulan September dan awal Oktober 2014 mengambil giliran memperkenalkan diri masing-masing. Selepas itu, para hadirin sekali lagi dihiburkan oleh seorang artis nasyid, bekas ahli kumpulan UNIC, saudara Fitri Harris yang baru sahaja tiba di bumi Nottingham untuk melanjutkan pelajaran di peringkat PhD. Beliau telah mendendangkan 3 buah lagu dan di antaranya 'Kerana Cinta' dan 'Hanya Tuhan Yang Tahu'. Lagu-lagu yang dinyanyikan sangat menyentuh kalbu dengan lirik yang begitu puitis dan mendapat tepukan gemuruh daripada hadirin. Setelah selesai persembahan, para hadirin bergerak ke perkarangan dewan untuk menikmati jamuan yang disediakan oleh para warga Helwa NMC. Antara juadah yang disediakan adalah nasi tomato, nasi minyak, kari kambing, kurma kambing, kambing masak lada hitam, sup kambing, kambing masak merah, ayam goreng berempah, sup ayam, buah-buahan dan desserts seperti jeli dan puding. Sambil menjamu selera, para hadirin beramah-mesra dan bertanya khabar antara satu sama lain. Pada penghujung majlis, para hadirin sekali lagi berkumpul di dalam dewan untuk sesi bergambar beramai-ramai dan majlis bersurai kira-kira pukul 1.30 tengahari. Pihak penganjur ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua yang terlibat dalam menjayakan maljis sambutan Aidiladha pada kali ini dan juga para warga NMC yang sudi hadir memeriahkan majlis. Tidak lupa juga jutaan terima kasih kepada warga Helwa NMC termasuk adik-adik daripada Nottingham Malaysian Society (NMS) dan Nottingham Trent University Malaysian Society (NTUMS) yang sama-sama bertungkus-lumus menyediakan kesemua juadah yang dihidangkan. Semoga ukuwah yang terjalin di antara kita semua semakin erat dan semoga berjumpa lagi pada majlis sambutan Aidiladha pada tahun hadapan. Jurugambar: Muhammad Asyran
0 Comments
Leave a Reply. |
Bagi warga NMC yang ingin berkongsi berita / pengumuman / informasi terbaru ke laman portal ini, sila hubungi AJK IT NMC seperti yang tertera di muka "Maklumat AJK".
Harap Maklum. |