Assalamualaikum & salam sejahtera,
Alhamdulillah, majlis iftar NMC pada tahun ini telah berjaya diadakan pada hari Jumaat, 11 Julai 2014 bersamaan 13 Ramadhan 1435 Hijrah di Jubilee Campus, University of Nottingham. Majlis yang bermula pada pukul 8.00 malam tersebut dimulakan dengan sesi tadarus Al-Quran oleh para warga NMC. Majlis diserikan lagi dengan kehadiran En. Taufik, attache Education Malaysia untuk Midlands dan Scotland sekeluarga. Semua makanan disediakan oleh chef-chef yang terdiri daripada warga Helwa NMC sendiri. Sekalung penghargaan untuk para warga Helwa yang bertungkus-lumus menyediakan segala juadah berbuka puasa untuk para hadirin. Pada masa yang sama, para hadirin juga mengambil kesempatan untuk melaksanakan zakat fitrah untuk tahun ini melalui para amil yang dilantik iaitu saudara Harris dan saudara Hilmi. Tepat pukul 9.30 malam, azan maghrib telah dikumandangkan dan para hadirin berbuka puasa secara ringkas di surau. Kemudian, para hadirin bersama-sama mendirikan solat fardhu maghrib secara berjemaah dan kemudian turun ke perkarangan Amenities Building, Jubilee Campus untuk menikmati jamuan makan malam. Pelbagai juadah disediakan antaranya nasi putih bersama daging masak lada hitam, kari daging, ayam goreng, ayam masak merah, ayam masak madu, ayam goreng berempah, sayur campur goreng, pulut kuning dan nasi goreng. Kuih-kuih melayu antaranya kuih ketayap, seri ayu, onde-onde dan puding buah juga dihidangkan bersama aiskrim, buah-buahan dan air sirap bandung. Sambil menikmati juadah makan malam, para hadirin juga mengambil peluang bertanya khabar dan bertukar-tukar cerita antara satu sama lain. Pada pukul 11.00 malam, para hadirin masuk semula ke surau untuk mendengar tazkirah Ramadhan yang disampaikan oleh En. Taufik sendiri dan antara intipati tazkirah tersebut ialah bagaimana pentingnya kita sebagai umat Islam untuk menjaga akhlak, tatasusila dan pertuturan kita sebagaimana yang telah gariskan oleh Al-Quran dan As-sunnah. Selain itu, kita haruslah memperbanyakkan berdoa untuk kejayaan pejuang-pejuang Islam terutamanya di Palestin yang kini menghadapi saat-saat yang sukar. Selepas itu, para hadirin menunaikan solat fardhu Isyak dan sunat tarawih secara berjemaah. Setelah selesai solat, para hadirin dihidangkan pula dengan sedikit jamuan moreh. Juadah yang disediakan antaranya sandwich telur berkeju, roti 'john' dan samosa telah mendapat sambutan ramai di samping air teh 'O dan kopi susu panas. Sementara menikmati jamuan moreh, para hadirin sekali lagi tidak melepaskan peluang untuk berramah-mesra antara satu sama lain. Majlis bersurai pada kira-kira pukul 1.00 pagi dan kami dari pihak NMC ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada En. Taufik sekeluarga dan sahabat-sahabat yang sudi hadir bagi memeriahkan majlis iftar pada kali ini. P/s: Terima kasih kepada jurugambar- Saudara Zulhelmy@Ming
0 Comments
Leave a Reply. |
Bagi warga NMC yang ingin berkongsi berita / pengumuman / informasi terbaru ke laman portal ini, sila hubungi AJK IT NMC seperti yang tertera di muka "Maklumat AJK".
Harap Maklum. |